Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sedia laksana rangkaian 5G kedua

    KUALA LUMPUR, 18 JUN – Kerajaan Malaysia kekal komited untuk melaksanakan dasar model dwi rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam pelaksanaan model dwi rangkaian tersebut akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun ini.

    “Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau selepas menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong.

    Fahmi berkata dalam pertemuan lebih 40 minit itu mereka membincangkan banyak perkara berkaitan isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

    Menurutnya, proses membangunkan rangkaian kedua itu hanya akan dibuka kepada syarikat telekomunikasi yang telah melengkapkan pegangan ekuiti (SSA) dalam DNB.

    Beliau berkata pelaksanaan rangkaian 5G kedua bersifat komersial tetapi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah memutuskan dasar dwi rangkaian untuk memacu persaingan dan memastikan kemapanan ekosistem telekomunikasi dalam negara.

    “Selain itu, perbincangan kami turut memberi fokus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian.

    “Saya turut menyentuh teknologi direct-to-cell melibatkan satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah internet di kawasan terpencil serta kawasan yang tiada sambungan internet,” katanya. – Bernama

    Fahmi Fadzil pada sidang media ketika menghadiri Program Korban Perdana Lembah Pantai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda