Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mali, Burkina Faso dan Niger tubuh Konfederasi Sahel

    JOHANNESBURG, 7 JULAI – Pemimpin tentera di Mali, Burkina Faso dan Niger mengadakan sidang kemuncak pertama mereka kelmarin di Niamey, Niger serta mengumumkan pembentukan konfederasi tiga negara Sahel.

    Pada sidang kemuncak pertama sejak rampasan kuasa tentera, ketiga-tiga pemimpin itu mengeluarkan kenyataan bersama bagi meratifikasi perjanjian menubuhkan konfederasi itu, lapor Agensi Anadolu.

    “Sidang kemuncak ini merupakan langkah penting untuk masa depan kita.

    “Bersama-sama, kita akan mengukuhkan asas kemerdekaan sebenar, menjamin keamanan dan pembangunan mampan melalui penubuhan Konfederasi ‘Perikatan Negara-Negara Sahel’,” kata pemimpin Burkina Faso, Kapten Ibrahim Traore di X.

    Sidang kemuncak ini juga menjelaskan niat ketiga-tiga negara itu untuk keluar dari Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS).

    Mereka pernah mengumumkan perkara itu pada awal tahun ini meskipun terdapat usaha-usaha oleh blok berkenaan untuk memperbaiki hubungan.

    Hubungan antara tiga negara Sahel dengan ECOWAS merosot selepas Jeneral Abdourahamane Tiani mengambil alih kuasa dari Presiden Mohamed Bazoum yang dipilih secara demokrasi di Niger pada Julai tahun lalu. ECOWAS mengenakan sekatan ke atas Niger dan mengancam campur tangan hingga menimbulkan kemarahan ketiga-tiga negara itu.

    “Perikatan Negara-Negara Sahel (AES) memiliki potensi semula jadi yang besar jika dieksploitasi dengan baik, akan menjamin masa depan yang lebih baik untuk rakyat Niger, Mali dan Burkina Faso,” kata Traore. – Bernama

    Ketua ketua kerajaan tentera Niger, Jeneral Abdorahahamane Tiani (tengah), Kolonel Mali, Assimi Goita (kiri) dan Kapten Burkina Faso, Ibrahim Traore (kanan) menunjukkan dokumen Konfederasi Sahel (AES) yang mereka tandatangani semasa sidang kemuncak pertama mereka di Niamey pada 6 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda