Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Negara Brunei Darussalam amat beruntung untuk mempunyai sebuah sistem penjagaan kesihatan progresif yang mengutamakan penjagaan berpaksikan pesakit dan inovasi.
Pelaburan strategik Kementerian Kesihatan dalam sistem kesihatan digital, analisis data dan peralatan diagnostik generasi akan datang adalah mustahak dalam membolehkan Brunei untuk menyampaikan penjagaan kesihatan yang memenuhi standard antarabangsa.
Dalam tahun-tahun yang mendatang, integrasi peralatan berkenaan dengan kecerdasan buatan (AI) akan membolehkan kita untuk menawarkan rawatan khusus berdasarkan kepada profil genetik seseorang pesakit, memantau perkembangan penyakit dalam masa sebenar dan juga meramal hasil kesihatan, mengalihkan tumpuan kita daripada rawatan kepada pencegahan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya di Majlis Perasmian Persidangan Sains Makmal Klinikal ASEAN ke-18 (ACCLS18) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Beliau menyatakan Point-of-care testing (POCT) merupakan satu lagi bidang yang berpotensi yang sedang membentuk semula penyampaian penjagaan kesihatan.
Dengan mendekatkan ujian kepada pesakit, jelasnya, kita membolehkan diagnosis dan rawatan yang lebih cepat terutamanya di kawasan-kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan dan terpencil.
Dengan teknologi terus berkembang maju, kita boleh menjangkakan lebih banyak peranti POCT canggih yang boleh melakukan ujian kompleks seperti pengesanan kanser dan penyakit berjangkit dengan keperluan sampel minimum.
Namun begitu, sambil kita menerima pakai kemajuan teknologi berkenaan, tegas Yang Berhormat Dato, kita juga harus menangani implikasi etika, kebimbangan mengenai privasi data serta cabaran-cabaran pengawalseliaan yang mungkin berbangkit.
Beliau menekankan adalah amat penting untuk mengimbangkan antara inovasi dan penggunaan bertanggungjawan teknologi.
Sambil kita membayangkan masa depan perubatan makmal di ASEAN, ulas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, adalah penting untuk mengiktiraf peranan perkongsian awam-swasta (PPP) dalam mempercepatkan pembangunan dan penggunaan penyelesaian makmal yang inovatif.
Beliau menyatakan PPP membawa bersama kepakaran, sumber dan kelincahan sektor swasta serta institusi akademik dengan visi strategik daripada sektor awam.
Di Brunei, inisiatif-inisiatif PPP adalah selaras dengan rancangan kemajuan jangka panjang Brunei iaitu Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam mencapai matlamat meningkatkan kualiti kehidupan, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan perkhidmatan awam cekap.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk secara aktif meneroka PPP dalam meningkatkan bukan sahaja perkhidmatan makmal tetapi juga penyampaian perkhidmatan penja-gaan kesihatan secara amnya.
Dengan memanfaatkan kekuatan sektor swasta dan kerajaan, PPP mempunyai potensi untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan akses mana-mana perkhidmatan penjagaan kesihatan, memberikan manfaat kepada masyarakat serta memacu kemakmuran ekonomi.