Monday, December 2, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan teknologi sistem bayaran digital

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Dalam usaha menjana dan membentuk ekonomi masa depan Negara Brunei Darussalam memerlukan kerjasama semua pihak melalui pendekatan senegara atau Whole of Nation serta inovasi digital.

    Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucaptama semasa Forum Ekonomi Digital 2024 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Hotel J, Kiulap, hari ini.

    Dalam ucaptama bertajuk, Membina Masa Depan Digital Brunei, Haji Mohammad Nazri memberikan penerangan mengenai Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025 dan bidang-bidang keutamaan termasuk sekuriti siber dan kecerdasan buatan (AI).

    Forum yang menyaksikan penyertaan lebih 160 orang delegasi daripada pelbagai sektor termasuk pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, pakar teknologi dan pencipta kandungan itu dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) Brunei dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Dengan membawa tema, Masa Depan Perdagangan Digital di Brunei, forum itu memberikan penumpuan kepada Hab Pembayaran Digital Kebangsaan dan peranannya dalam mempercepatkan transformasi digital negara.

    Sesi perbincangan yang mengetengahkan Hafiz Haslen, Manuel Bulens, Brenda Low dan dikendalikan Dayang Nik Hafimi. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Haji Muhammad Nazri yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES

    Terdahulu, Pengerusi ASEAN BAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina Taib dalam kata alu-aluannya berkata dengan landskap digital yang pesat berubah, Brunei berada di pinggir era pertumbuhan baharu.

    Oleh itu, ulasnya, tumpuan forum kepada Hab Pembayaran Digital Kebangsaan merupakan satu mercu tanda utama dalam memodenkan cara-cara perniagaan di dalam negara dan global dilaksanakan.

    Beliau menerangkan sebilangan besar negara-negara ASEAN telah memanfaatkan teknologi bagi sistem pembayaran digital untuk membolehkan transaksi merentas sempadan yang lancar serta memperkasakan perniagaan-perniagaan mereka.

    Negara Brunei Darussalam juga berada di laluan yang serupa dan dengan mempelajari daripada negara jiran ASEAN, kita boleh meletakkan diri kita untuk memanfaatkan peluang-peluang berkenaan serta memastikan ekonomi mereka kekal kompetitif di pasaran global, tambah Dayang Haslina.

    Manakala Pengerusi ABAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa perniagaan kecil merupakan tulang belakang ekonomi negara dan ABAC ingin memastikan mereka mempunyai akses kepada kesemua peralatan digital yang diperlukan.

    Dengan mempromosikan perdagangan tanpa kertas saling boleh beroperasi dan AI bertanggungjawab, Pengiran Aki Ismasuffian menjelaskan mereka memberikan semua syarikat khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk perniagaan diterajui wanita, usahawan asli serta ekonomi informal, rangsangan sebenar yang akan menyaksikan perniagaan Brunei meraih manfaat yang tak terkira.

    Pada forum itu, Ketua Legasi Kod QR ASEAN, ASEAN BAC Indonesia, Hans Lukiman dalam pembentangan secara maya, memberikan pengenalan mengenai Kod QR ASEAN yang dihasratkan untuk meng-hubungkan gerbang pembayaran negara-negara anggota ASEAN.

    Beliau menerangkan setakat ini, Malaysia, Indonesia dan Thailand telah dihubungkan manakala Singapura dipautkan kepada Thailand. Kod QR ASEAN akan menyediakan pembayaran yang pantas, terjamin dan selamat di seluruh anggota ASEAN apabila ia dilaksanakan sepenuhnya, tambah Hans Lukiman.

    Sementara pembentangan daripada Pengurus Projek National Digital Payments Network Sdn Bhd (ndpx), Rahim Harun menjelaskan mengenai Hab Pembayaran Digital Kebangsaan dengan menekankan transaksi digital yang lancar dalam negara dan antarabangsa.

    Selain itu, sesi perbincangan juga mengulas mengenai kesan meluas hab pembayaran kepada perniagaan dan sektor kewangan Brunei yang diketengahkan ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif ndpx, Hafiz Haslen; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna, Bank Baiduri, Manuel Bulens; Ketua Perbankan Harta dan Runcit, StanChart Brunei, Brenda Low; sementara sesi dikendalikan ahli Majlis Ekonomi Digital Brunei, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

    Forum turut mengetengahkan panel perbincangan dinamik yang mengulas mengenai ekosistem pencipta kandungan yang berkembang di Brunei dengan sesi dikendalikan Pengurus Besar Kristal Media Sdn Bhd, Jenny Malai Ali.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda