KUALA LUMPUR, 22 DIS – Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor kembali meningkat manakala Kuala Lumpur dan lima negeri lain menunjukkan penurunan setakat petang tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa seramai 62,795 orang dengan 401 PPS dibuka setakat ini melibatkan tujuh negeri iaitu Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Di Selangor, Info Bencana JKM melaporkan seramai 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga dicatatkan petang tadi, meningkat sedikit berbanding 21,047 mangsa banjir daripada 5,274 keluarga pada 12.38 tengah hari, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 117 PPS.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir diangkut semalam di kawasan terlibat dan kerajaan negeri akan melipatgandakan usaha membantu penduduk membersihkan rumah.
Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan iaitu sebanyak 36,841 orang yang ditempatkan di 267 PPS di sembilan daerah setakat 4 petang, berbanding 38,810 orang di 285 PPS tengah hari tadi.
Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di beberapa tempat melibatkan daerah Rompin pada sebelah malam.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan turut menunjukkan penurunan setakat 6 petang, apabila seramai 1,782 orang daripada 603 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Pasir Mas dan Kuala Krai, berbanding 2,415 orang daripada 760 keluarga, tengah hari tadi.
Di Melaka, bilangan mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin berkurangan kepada 150 orang daripada 37 keluarga setakat pukul 4 petang berbanding 165 mangsa daripada 41 keluarga, tengah hari tadi.
Sementara itu di Kuala Lumpur, sebanyak 319 orang daripada 80 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Kelab Sultan Sulaiman dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy manakala di Negeri Sembilan sebanyak 345 mangsa ditempatkan di lima PPS.
Di Perak, banjir menyebabkan 257 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak setakat pukul 6 petang. – Bernama