Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa hanyut ditemui hari ke-4

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    TEMBURONG, 28 JAN – Seorang lelaki yang dipercayai telah hanyut dibawa arus sungai yang deras dalam insiden di kawasan Kampung Batang Duri, Daerah Temburong pada 24 Januari lalu, telah ditemui pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat dijalankan, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, mayat mangsa telah ditemui di Sungai Biang dalam jarak 8 kilometer dari tempat mangsa dipercayai lemas pada pukul 8:26 pagi.

    Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha menggunakan van polis untuk tindakan selanjutnya.

    Mangsa ditemui oleh anggota Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh AB 952 Mohd Shahrizam semasa operasi menggunakan perahu JBP/24.

    Operasi berkenaan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Stesen Komander Balai Bomba Rataie, Pemangku DSO Adanan bin Salat.

    JBP dalam kenyataannya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga rohnya tenang dan dicucuri rahmat.

    Dalam pada itu, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap atau hujan serta menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti mandi-manda atau sukan air.

    Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Kawasan di tempat mangsa dipercayai hanyut dibawa arus pada kejadian 24 Januari lalu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda