SANTO DOMINGO, 10 APRIL – Pasukan penyelamat di Republik Dominican hari ini meneruskan lagi penggalian dalam runtuhan sebuah kelab malam terkenal akibat bumbung runtuh awal minggu ini dan kejadian ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 184 orang, meskipun harapan untuk menemui mangsa terselamat kini semakin tipis.
Sementara itu, puluhan penduduk di ibu kota Santo Domingo masih lagi berusaha untuk mencari ahli keluarga mereka yang hilang, namun kecewa kerana tidak menerima sebarang maklumat selepas berulang kali mengunjungi hospital dan Institut Forensik Negara.
Di samping itu, pihak doktor juga turut mengeluarkan amaran, sebahagian daripada 26 orang pesakit yang masih dirawat di hospital belum berada dalam keadaan stabil, khususnya lapan pesakit yang kritikal. Menteri Kesihatan Dr Víctor Atallah berkata, “Jika trauma terlalu teruk, masa untuk menyelamatkan mereka sangat singkat.”
Kecederaan termasuk retak di tengkorak, tulang paha dan pelvis akibat runtuhan simen semasa konsert merengue di kelab malam Jet Set di Santo Domingo yang menyebabkan lebih 200 orang cedera.
Kerajaan kelmarin, telah memaklumkan operasi penyelamat kini memasuki fasa pemulihan yang tertumpu kepada pencarian mayat. Namun, Ketua Pusat Operasi Kecemasan, Juan Manuel Méndez berkata, pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa hidup walaupun tiada mangsa ditemui sejak Selasa petang. “Kami tidak akan tinggalkan sesiapa. Kerja kami akan diteruskan,” katanya.

Semasa kejadian, kelab malam tersebut dipenuhi oleh para ahli pemuzik, atlet profesional dan pegawai kerajaan. Debu mula jatuh dari siling ke dalam minuman para hadirin sebelum bumbung runtuh beberapa minit kemudian.
Antara mangsa yang terkorban adalah ikon merengue Rubby Pérez yang sedang menyanyi ketika bumbung runtuh; bekas pemain MLB Octavio Dotel dan Tony Enrique Blanco Cabrera; serta Nelsy Cruz, gabenor wilayah Montecristi, yang juga abang kepada pemain All-Star Major League Baseball, Nelson Cruz.
Pengarah sistem 911 negara, Randolfo Rijo Gómez berkata, pihaknya menerima lebih daripada 100 panggilan kecemasan, termasuk daripada mangsa yang terperangkap.
Pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan dan kamera haba untuk mencari mangsa, dan berjaya menyelamatkan 145 orang dari runtuhan. – AP