Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MARii perkukuh kemahiran juruteknik industri EV

    KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Menyedari kerumitan sistem kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengambil langkah proaktif dengan menanganinya menerusi beberapa inisiatif.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Reza Aziz berkata matlamat utama inisiatif itu untuk memperkukuh kecekapan juruteknik serta meningkatkan standard perkhidmatan menerusi penyelidikan dan membangunkan masa depan pembaikan EV dan segmen selepas pasaran dalam industri EV.

    “Pelbagai bentuk inisiatif itu merangkumi latihan, pembangunan kemahiran dan kerjasama dengan pihak berkepentingan industri seperti kedai pembaikan, pengilang EV, pusat pembuatan semula, kemudahan rawatan automotif yang dibenarkan, akademia dan agensi kerajaan.

    “MARii juga memainkan peranan penting dalam pembangunan modul dan standard yang disesuaikan dengan EV, bekerja rapat dengan entiti seperti Standard Malaysia dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, serta badan kerajaan seperti Jabatan Standard Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya kepada Bernama.

    Azrul Reza berkata melalui aktiviti perkongsian pengetahuan dan pembangunan piawaian industri, MARii dapat memupuk persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan kecemerlangan dalam segmen pembaikan industri EV.

    Beliau berkata institut itu juga mempromosikan penggunaan EV melalui program latihan khusus seperti Latihan Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik (HEV Tech).

    Program ini melengkapkan juruteknik pembaikan EV dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk mendiagnosis, melakukan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan yang berkesan, katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda