Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maritim Selangor banteras 40.37kg syabu

    SHAH ALAM, 1 FEB – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas dadah dipercayai jenis syabu dianggarkan seberat 40.37 (kg) bernilai kira-kira RM1.32 juta dalam satu serbuan di Jeti Nelayan Sekinchan, Sabak Bernam, Selasa lalu.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata berdasarkan risikan dan intipan terhadap aktiviti penyeludupan di perairan Selangor, unit risikan dan pasukan geledah dari KM Bagan Datuk telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan pada 8:30 malam.

    “Semasa pemeriksaan dilakukan, tiga lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identitinya telah terjun ke dalam air dan melarikan diri manakala seorang lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun dalam pengaruh dadah berjaya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.”

    “Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan dua bungkusan guni yang disimpan dalam petak simpanan ikan di atas bot tersebut. Kedua-dua guni berisi 38 buah bungkusan teh cina disyaki dadah jenis syabu dipercayai untuk diseludup keluar,” katanya dalam kenyataan.

    Abdul Muhaimin berkata, warga asing, bot serta dadah itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

    Beliau berkata rampasan dadah itu merupakan yang terbesar bagi agensi berkenaan. – Bernama

    Abdul Muhaimin Muhammad Salleh (kanan) menunjukkan barang rampasan semasa sidang media di Pelabuhan Klang hari ini berkaitan rampasan dadah jenis syabu dalam satu operasi baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda