Penyanyi Mark Feehily memaklumkan pengunduran dirinya daripada mengikuti siri jelajah The Wild Dreams bersama kumpulan Westlife kerana masalah kesihatan.
Mark atau Mark Michael Patrick Feehily, 44, berkata dia memerlukan masa untuk tempoh pemulihan selepas menjalani beberapa pembedahan sebelum ini, lapor mStar.
“Pembedahan yang dilakukan sebelum ini berjalan lancar tetapi saya harus memberi ke-
utamaan untuk menjaga diri sepanjang tempoh pemulihan.
“Dengan rasa kesal saya harus berundur sementara dari Westlife untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Mark berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Dalam pada itu, anggota kumpulan Westlife ini turut memberikan semangat buat rakan ahli yang lain termasuk Shane, Kian dan Nicky untuk meneruskan konsert siri jelajah mereka.
Mark turut meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat membuat persembahan bersama namun berhasrat untuk bertemu peminat selepas kesihatannya semakin baik.
“Saya akan sentiasa memberikan sokongan dan semangat setiap kali awda (Westlife) melakukan persembahan pentas.
“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat bersama-sama Westlife tetapi saya harap dapat berjumpa lagi dengan peminat pada masa akan datang,” ujarnya.
Pada Ogos 2020, Mark menjalani satu pembedahan dan susulan daripada itu dia mengalami sepsis berpunca daripada tindak balas imun yang tercetus akibat jangkitan.
Mark sekali lagi diuji pada akhir tahun 2021 selepas didiagnos mempunyai penyakit radang paru-paru atau pneumonia. – Agensi