Saturday, December 21, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martabatkan kulinari tradisi Melayu kitani

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Zaman silih berganti, begitu juga perubahan yang dapat kita selami terhadap pelbagai kulinari masyarakat di negara ini yang semakin berkembang mengikut arus kemodenan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

    Jika tiada yang lama, tiadalah yang baharu, itulah keistimewaan kulinari tradisi Melayu yang setentunya memiliki kepelbagaian dan keunikan tersendiri bagi menjadikan suatu warisan budaya yang seharusnya dipertahankan, diperkembangkan dan diperjuangkan oleh masyarakat di negara ini.

    Mempertahankannya adalah menjadi tanggungjawab bersama.Ungkapan sebegitu kedengaran cukup mudah, namun hakikatnya bagi mengekalkan dan mempertahankan sesuatu warisan itu agar tidak terhakis oleh arus kemodenan memang sukar tanpa sebarang usaha yang gigih daripada semua pihak.

    WAJID JAWA TAK LAPUK DITELAN ZAMAN

    Tak lapuk ditelan zaman, begitulah keistimewaan wajid atau wajik Jawa yang merupakan salah satu produk kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus memberikan simbol kulinari khas istimewa di Daerah Temburong.

    Wajid berasaskan bahan-bahan utama daripada adunan beras Jawa, gula dan kelapa. Kuih itu dimasak dan hasilnya dibungkus menggunakan daun nyirik sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis. Selain wajid Jawa, kini ia juga telah dipelbagaikan dengan ciptaan beberapa perisa lain seperti durian, ubi manis, ubi keladi dan labu.

    Adunan kuih sumbui-sumbui dimasukkan ke dalam acuan sumbui-sumbui dan dimasak secara kukus. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Kuih penyaram turut dipelbagaikan dengan perisa durian putih. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Wajid atau wajik Jawa sebagai simbol kulinari khas yang wajib dirasai di Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Kuih bikang yang digoreng di atas pembakar dengan menggunakan api yang sederhana. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    KEUNIKAN KUIH PENYARAM BERPERISA DURIAN PUTIH

    Salah satu kuih tradisional masyarakat tempatan iaitu kuih penyaram pada kebiasaannya berwarna coklat dengan bentuk seakan-akan ‘UFO’. Teksturnya lembut dan rangup di tepinya.

    Antara bahan utama bagi menghasilkan kuih penyaram ialah tepung beras, tepung gandum, gula pasir, gula Melaka, air dan minyak secukupnya untuk menggoreng. Terdapat sesetengah pengusaha di negara ini membuat inovasi pada kuih penyaram supaya ia nampak lebih menarik. Bukan sahaja dipelbagaikan dengan warna yang menarik malah diberikan perisa, sebagai contoh kuih penyaram berwarna hijau dan berperisa durian putih.

    SEJENIS TUMPI VERSI MELAYU KEDAYAN

    Mengimbas kembali kenangan penulis berkunjung di salah sebuah perhimpunan Puak Melayu Kedayan di Kampung Jerudong suatu ketika dahulu, bagaikan peluang keemasan apabila dapat menimba serba sedikit keindahan kuih tradisi nenek moyang mereka.

    Salah satu kuih tradisi Puak Melayu Kedayan yang dilihat seakan-akan hampir pupus ialah kuih bikang. Bahan-bahan asasnya terdiri dari adunan kisaran tepung beras dan kelapa parut yang telah dikisar halus kemudian digaul rata dalam air panas secukupnya serta sedikit garam.

    Setelah adunan tersebut digaul sehingga sebati, kemudian adunan akan diletakkan ke dalam satu senduk sudu besar lalu digoreng di atas pembakar dengan menggunakan api yang sederhana iaitu sama seperti pembuatan tumpi.

    Adunan kemudiannya digoreng sehingga teksturnya tidak terlalu lembut dan keras yang menandakan ia telah siap untuk dinikmati. Hidangan yang sesuai dinikmati bagi sarapan pagi mahupun minum petang, lebih enak apabila dicicah bersama susu manis ketika masih panas.

    KUIH SUMBUI-SUMBUI UNIK DAN LAZAT

    Salah satu kuih tradisi yang terlihat unik turut diketengahkan semasa perhimpunan berkenaan ialah kuih sumbui-sumbui.

    Dikenali dengan nama tersebut kerana luaran kuih itu disaluti dengan tumbuhan sumbui-sumbui.

    Manakala bahan-bahan utamanya terdiri dari adunan tepung beras dan pisang yang telah dikisar atau dilenyek sehingga lumat dan kemudian digaul rata dalam air panas serta sedikit garam dan gula.

    Kemudian masukkan campuran adunan yang sudah sebati itu ke dalam acuan tumbuhan sumbui-sumbui dan dimasak secara kukus. Acuan tersebut terlebih dahulu dicuci sehingga bersih dan dikeringkan sebelumnya digunakan.

    Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan kita di negara ini sebagai pelapis bangsa Melayu sendiri bagi sama-sama berjuang memartabatkan kulinari asli warisan Melayu dari semasa ke semasa, baik secara persendirian mahupun perniagaan.

    Hal ini begitu penting disemai agar khazanah budaya bangsa akan terus diingati dan diperkenalkan serta sentiasa memenuhi cita rasa orang lama dan generasi muda di negara ini dan sekali gus dapat dikenali di mata dunia. Segalanya adalah tanggungjawab kita bersama untuk bersatu agar ia tidak terhakis begitu sahaja dibawa arus kemodenan yang semakin mencabar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda