Wednesday, April 23, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masalah tiroid jejas organ dalaman

    Oleh Dr Alexander Tan Tong Boon dan  Dr Mohd Kamal bin Mohd Arshad

    KUALA LUMPUR – Kadangkala, sesuatu yang paling kecil boleh mempengaruhi struktur yang jauh lebih besar seperti kelenjar tiroid yang berbentuk rama-rama di hadapan leher.

    Ia berfungsi meresapkan hormon tiroid. Hormon ini memainkan peranan penting dalam tumbesaran, perkembangan dan metabolisme badan, yang turut menentukan kadar fungsi organ di dalam badan.

    Hipertiroidisme dan Hipotiroidisme

    Apabila terdapat gangguan fungsi tiroid, suhu dan berat badan, pembuangan air, saraf dan banyak lagi fungsi badan akan terjejas. Kesannya berbeza-beza bergantung sama ada terdapat lebihan atau kekurangan hormon tiroid. Hipertiroidisme ialah keadaan di mana kelenjar tiroid adalah terlebih aktif, menghasilkan lebih banyak hormon tiroid daripada yang diperlukan oleh badan. Juga dikenali sebagai tirotoksikosis, ia menyebabkan individu yang mengalami keadaan ini untuk berpeluh secara berlebihan, tidak tahan panas dan kehilangan berat badan, selain beberapa tanda dan gejala lain. Ini mengakibatkan organ pesakit hipertiroidik untuk bekerja pada kadar yang lebih pantas.

    Dalam hipertiroidisme, kelenjar tiroid kurang aktif menghasilkan hormon tiroid yang tidak mencukupi untuk badan. Individu yang mengalami keadaan ini mungkin mendapati mereka rata-rata berasa lesu, tidak tahan suhu dingin, mengalami otot dan sendi yang sakit, dan terasa kembung selain daripada tanda dan gejala lain.

    Oleh itu, organ penghidap hipotiroidisme akan berfungsi pada kadar yang lebih perlahan. Walaupun terdapat pelbagai punca, umpamanya kesan ubat tertentu, punca paling umum ialah masalah autoimun. Dalam kes hipertiroidisme, ia disebabkan Penyakit Graves manakala bagi hipotiroidisme, berpunca daripada Penyakit Hashimoto.

    Hormon Tiroid dan Jantung

    Dua masalah tiroid ini secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid di dalam otot jantung dan salur darah.

    Hormon tiroid boleh meningkatkan daya pengecutan otot, dan juga meningkatkan kadar jantung. Hormon ini juga bertanggungjawab mempengaruhi luaran jantung dan tekanan arteri dengan mengurangkan ketegangan salur darah.

    Selain itu, hormon secara tidak langsung merangsang sistem hormon renin-angiotensin, yang memainkan peranan penting dalam mengawal isi padu darah dan menyerap semula natrium di dalam buah pinggang menyebabkan peningkatan dalam isi padu plasma darah. Masalah jantung yang dikaitkan dengan hipertiroidisme termasuk kadar denyutan jantung pantas; hipertensi sistolik dan kegagalan jantung akibat pengenduran otot jantung yang terjejas; pertambahan jisim otot jantung; dan tekanan darah lebih tinggi pada paru-paru. Disebabkan jantung hipertiroidik perlu bekerja lebih keras, jantung akhirnya akan mengalami kardiomiopati jika tidak dirawat.

    Tanda dan gejala hipotiroidisme adalah tidak begitu ketara berbanding hipertiroidisme tetapi serupa. Pesakit yang mengalami keadaan ini juga mungkin menghadapi efusi perikardium, pengumpulan bendalir dalam pelapik jantung.

    Penghidap hipotiroidisme mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari dan strok kerana paras kolesterol LDL lebih tinggi, peningkatan ketebalan salur darah karotid dan hipertensi, yang semuanya merupakan faktor risiko diketahui bagi penyakit kardiovaskular.

    Pengurusan dan Rawatan

    Walaupun terdapat kes di mana hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang dialami secara sendiri, sebahagian besar daripada pesakit mewarisi keadaan ini. Oleh yang demikian, tidak ada jalan untuk mencegah penyakit daripada berlaku, terutamanya jika seseorang berkecenderungan mengalaminya.

    Di samping itu, bagi pesakit dengan penyakit jantung sedia ada, mereka akan mendapati gejala mereka bertambah teruk jika mengalami sebarang penyakit tiroid. Bagaimanapun, jika keadaan disahkan awal dan dengan tepat, ia boleh diuruskan dengan baik. Kesan sampingan ke atas jantung masih boleh dipulihkan pada peringkat ini jika gangguan tiroid dirawat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda