Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masjid purba Aleppo semakin uzur

    ALEPPO, Syria – The Great Mosque di Aleppo, sebuah bangunan berusia berabad-abad lamanya yang terletak di tengah-tengah salah satu bandar tertua di dunia, kini menjadi suram atas sebab kejadian perang di Syria.

    Pintu-pintu telah diletupkan, dinding-dinding berkecai akibat tembakan dan serpihan, dan menara azan yang telah berkumandang selama 900 tahun telah mengalami kerosakan yang teruk. Mimbar kayu, bersama-sama dengan manuskrip purba dari perpustakaan yang berdekatan telah dicuri oleh perompak.

    Syria kini hanya mampu meninjau kerosakan yang diakibatkan oleh peperangan yang telah berlangsung lebih empat tahun. Pemberontak dari kawasan desa telah memasuki Aleppo pada musim panas pada tahun 2012, menguasai daerah-daerah timur dan mengubah Kota Lama menjadi kawasan barisan hadapan peperangan yang setia kepada Presiden Bashar Assad.

    Para pemberontak menyerah kalah bulan lalu selepas serangan besar-besaran kerajaan dan telah berpindah ke kawasan lain, yang membolehkan Assad untuk mengawal bandar terbesar di negara ini.

    Permaidani merah yang berada dalam masjid ini dipenuhi dengan bahan runtuhan, manakala lampu chandeliernya yang tergantung di siling masjid itu rosak teruk. Beg-beg pasir yang digunakan oleh pemberontak juga memenuhi kawasan itu.

    Orang ramai melawat kawasan halaman The Great Mosque yang mengalami kerosakan  yang teruk di Aleppo. – AP
    Orang ramai melawat kawasan halaman The Great Mosque yang mengalami kerosakan yang teruk di Aleppo. – AP
    Pintu masuk utama The Great Mosque yang mengalami kerosakan. – AP
    Pintu masuk utama The Great Mosque yang mengalami kerosakan. – AP
    Sheikh Abdul Qader Shehabi memasuki The Great Mosque yang rosak teruk di Aleppo, di Bandar Lama di Aleppo. – AP
    Sheikh Abdul Qader Shehabi memasuki The Great Mosque yang rosak teruk di Aleppo, di Bandar Lama di Aleppo. – AP

    Juga dikenali sebagai Masjid Umayyah, kawasan masjid ini telah dibuka semula pada tahun 2006 selepas projek pengubahsuaian selama 20 tahun. Bandar Lama Aleppo, tapak warisan dunia UNESCO, juga mempunyai kubu abad ke-13, sebuah bazar yang luas dan beberapa monumen lain, hampir kesemuanya telah rosak atau musnah.

    Sebelum pemberontak menyerbu bandar itu, pihak kerajaan itu membina tembok simen untuk menjaga sebuah kubur yang berada di dalam masjid itu yang dipercayai kubur Nabi Zakaria.

    Sheikh Abdul Qader Shehabi, seorang ulama kanan Islam yang menghabiskan masa-masa pembelajaran dan pekerjaannya di Masjid Umayyad, berkata 70,000 buku telah dicuri dari perpustakaan yang berdekatan termasuk salinan Quran yang disalin pada Zaman Pertengahan, yang katanya telah diseludup keluar dan dijual di Turki dengan harga AS$250,000.

    Khaled al-Masri, pengarah muzium dan antik di Aleppo, memandang ringan tahap kemusnahan itu, berkata masjid itu boleh dibaiki dalam tempoh setahun dan menara itu boleh dibina semula. “Kerosakan ini tidaklah begitu teruk dan kita boleh mengembalikan Masjid Umayyah seperti sebelum ini,” katanya.

    Dengan peperangan masih berlaku di tempat lain di negara ini, dan kerajaan kekurangan wang, ia menambahkan lagi cabaran dalam pembinaan semula secara besar-besaran, bukan sahaja di Aleppo tetapi juga di bandar-bandar lain.

    “Masjid ini pernah menjadi permata,” kata Fateh Abdullah Nahhal, seorang penjual barang-barangan runcit yang membawa anak-anaknya ke kawasan itu buat kali pertama dalam tempoh lima tahun. “Apa yang boleh kami katakan adalah agar Tuhan menghukum mereka yang melakukan ini.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda