Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Masyarakat awam wira kemanusiaan Gaza

    GAZA – Kisah keberanian anggota tentera saat bertempur di medan perang mungkin sesuatu yang biasa kita lihat mahupun dengar. 

    Namun, keberanian dalam kalangan masyarakat awam sehingga sanggup menggadai nyawa demi membantu golongan memerlukan, apatah lagi ketika peperangan dan konflik berdarah sedang melanda sesuatu yang wajar disanjung, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).  

    Rami Abu Sha’ban, 52, antara yang sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan jirannya.

    Beliau seorang daripada ratusan ribu penduduk Gaza yang enggan berganjak apabila dipaksa berpindah ke selatan Gaza. 

    Tatkala kereta kebal Israel memasuki kawasan kejiranan Hayy al-Rimal di utara Gaza dan menyasarkan pangsapuri tiga tingkat milik jirannya, diikuti sekumpulan anggota tentera Zionis Israel mula mengepung kediaman berkenaan yang turut menumpangkan beberapa keluarga lain untuk berlindung, Rami tanpa ragu segera menuju ke sana apabila terdengar bunyi tembakan bertalu-talu diikuti jeritan kanak-kanak dan wanita. 

    Rakyat Palestin memeriksa kemusnahan yang disebabkan oleh serangan Israel di Wadi Gaza, di tengah Semenanjung Gaza pada 28 November, di tengah-tengah gencatan senjata dalam pertempuran antara Israel dan Hamas. – AFP
    Gambar AFP
    Penduduk Palestin memasak roti di tepi rumah mereka yang musnah di Kuza’ a Semenanjung Gaza semasa gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel pada 29 November. – AP
    Penduduk tempatan dan rakyat Palestin yang dipindahkan berjalan melepasi bangunan yang musnah di bandar Khan Yunis di selatan Genting Gaza pada 28 November. – AFP

    Rasha Abu Sha’ban (adik Rami), ketika ditemui WAFA berkata: “Rami melihat keadaan jiran kami dan dapat melihat tiga orang terbaring cedera.

    Mulanya Rami menunggu saja ketibaan ambulans, tapi memandangkan kawasan kejiranan kami diawasi kereta kebal Zionis yang melepaskan tembakan rambang, ambulans mungkin tidak dapat masuk.

    “Rami kemudian meluru keluar dari rumah ingin menghulurkan bantuan tapi dihujani tembakan bertalu-talu kereta kebal Israel menyebabkan dia dan empat lagi pemuda lain yang ingin membantu, terbunuh.”

    Beliau bukanlah askar atau komando Palestin tetapi hanyalah seorang jurulatih pembangunan sumber manusia dan pemasaran, selain rakan kongsi dalam sebuah syarikat persendirian bersama sahabatnya Dr Yasir al-Alim yang turut terkorban alam serangan berasingan di Gaza sebelum ini. 

    Rami, lulusan biokimia Universiti Maastricht, Netherlands, semasa hayatnya sering menyertai bengkel dan seminar antarabangsa selain aktif melatih belia dalam bidang perkembangan teknologi.

    Meninggalkan empat orang anak, pemergiannya amat memilukan. 

    Muhammad Rif’at al-Salul, 33, dari Kem Pelarian Bureij, zon tengah Gaza antara pemuda berani yang turut bertungkus lumus membantu menyelamatkan penduduk yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit, ketika bom dan tembakan masih dilepaskan.

    “Saya segera menggendong seorang kanak-kanak yang rumahnya baru saja dibedil dan cuba menyelamatkannya tapi kawasan sekeliling dipenuhi timbunan sisa bangunan menyebabkan pergerakan saya terbatas.

    “Saya kemudian membawanya ke satu lorong sempit di tengah-tengah runtuhan bangunan, tiba-tiba sebuah lagi roket menghentam kawasan itu menyebabkan kanak-kanak itu telepas dari gendongan saya dan tercampak.

    Sehingga sekarang saya tidak tahu apa nasib kanak-kanak itu,” katanya.

    Muhammad yang patah tulang rusuk dan tulang belakang selain cedera pada bahagian kepala ditemukan sejam kemudian oleh pasukan penyelamat. 

    “Pasukan penyelamat berjaya menemukan saya selepas terlihat tangan dan kaki saya dari celahan runtuhan bangunan,” kata Muhammad kepada koresponden WAFA di Hospital Syuhada al-Aqsa, di Deir al Balah.

    Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Gaza, Ahmad Abu Khudeir, 55, walaupun cedera namun itu tidak mematahkan semangat dan rasa tanggungjawabnya untuk membantu menyelamatkan sebuah keluarga yang diserang rejim Zionis pada 22 Oktober lalu.

    Ahmad dan rakan-rakannya menerima panggilan kecemasan mengenai serangan udara yang menyasarkan sebuah rumah di Perkampungan al-Mughraqa.

    Mereka bergegas menuju ke tempat berkenaan menaiki kereta peronda dan berjaya mengeluarkan tiga orang yang terkorban.

    “Kami membuat pemeriksaan di sekeliling rumah berkenaan mencari mangsa lain kerana biasanya jenazah dan mangsa serangan jika masih hidup akan tercampak beberapa meter daripada lokasi serangan.

    “Ketika sedang memeriksa bumbung rumah sebuah roket membedil rumah berkenaan menyebabkan kaki dan kepala saya tercedera.

    “Kami menganggap usaha menyelamat bukan sekadar tugas semata-mata, sebaliknya lebih kepada  nilai kemanusiaan.

    Kami sedar nyawa sendiri terdedah kepada bahaya kerana Israel kadang kala membedil sasaran yang sama berkali-kali, namun kami sedar ini kewajipan kami sesama insan,” katanya.

    Beliau berkata tentera Israel sering menyasarkan rumah yang didiami keluarga yang besar dan membedilnya beberapa kali mengorbankan ahli keluarga, para petugas kecemasan dan pasukan penyelamat.

    Sebelum inisiatif jeda kemanusiaan dicapai pada Jumaat lepas, jumlah terkini korban serangan tentera Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza sudah melepasi 15,000 orang, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, selain lebih 36,000 lagi cedera. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...