Anak angkat kepada pelakon dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London iaitu Abu Hanifiah Md Saleh mendedahkan arwah kerap berzikir semasa sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut Abu, arwah berada dalam keadaan tenang melawan penyakitnya itu dan memberikan respons baik setiap kali menerima kehadiran pelawat.
“Bila saya datang dia berzikir walaupun lidah dia ditekan dengan alat bantuan pernafasan, dia pun akan buat aksi macam sedang solat.
“Dia memang dah bersedia, sebab itu nampak dia tenang dan pergi di penghulu hari,” katanya kepada mStar.
Abu berkongsi perkara itu ketika ditemui Masjid Al Mardhiyah, Taman Melawati, Kuala Lumpur pagi tadi.
Mat London menghembuskan nafas terakhir di HKL kira-kira pukul 5:57 pagi.
Dalam pada itu, Abu juga memberitahu dia mengagumi sikap arwah yang tidak mahu menghampakan setiap orang.
Malah, sepanjang dia tinggal bersama Mat London, arwah melayannya dengan begitu baik sekali.
“Dia seorang pendengar yang baik, dia tak nak menghampakan orang lain dan sentiasa ingin mendamaikan orang lain,” kongsinya. – Agensi
