TOKYO, 24 Feb – Peso Mexico pulih hari ini selepas Setiausaha Negara AS Rex Tillerson mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Mexico untuk cuba menenangkan pertikaian ekoran dasar keras perdagangan dan imigresen Presiden Donald Trump.
Unit itu pada nilai 19.69 berbanding dolar, mengukuh dari kira-kira 19.90 semalam dan melonjak lebih 10 peratus dari catatannya paling rendah kira-kira 22.00 pada awal bulan lalu.
Kemenangan Trump dalam pilihan raya November lalu telah mengakibatkan peso jatuh ke tahap paling rendah ekoran kebimbangan bahawa beliau akan meneruskan ancaman kempennya untuk mengenakan levi ke atas eksport Mexico, mengkaji semula perjanjian perdagangan dan malah menghentikan pengiriman wang oleh rakyat Mexico yang menetap di AS.
Beliau juga mengundang kemarahan Mexico dengan berikrar akan membina tembok di sepanjang sempadan untuk menghindari penghijrah, yang pada ketika kempen presidennya beliau menyelar mereka sebagai perogol dan penjenayah, dan mendesak negara itu membayar bagi pembinaan tembok itu. Semalam, Tillerson dan Setiausaha Keselamatan Negara John Kelly telah pergi ke Bandar Mexico untuk menenangkan ketegangan dan membincangkan dengan Presiden Mexico Enrique Pena Nieto bagaimana membendung penghijrahan seberang sempadan dan pengedaran dadah.
“Peso pulih dengan luar biasa,” Greg McKenna, ketua ahli strategik pasaran di penyedia CFD dan FX, AxiTrader, berkata dalam satu komentar.
“Apa yang saya percaya sedang berlaku di sini ialah para peniaga dan para pelabur menyaksikan kesan dari pendirian Mexico dalam meringankan perlanggaran terang-terangan oleh pentadbiran AS dan memutuskan bahawa kebimbangan teruk mereka bagi peso dan ekonomi Mexico adalah melampau.” – AFP