Friday, June 21, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    Mati dalam lokap: Mahkamah perintah ganti rugi RM197,600

    GEORGE TOWN, 20 MEI – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi berjumlah RM197,600 kepada keluarga Mohd Fadzrin Zaidi, 29, yang ditemui mati di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU), lima tahun lalu.

    Hakim Datuk P. Anand membuat keputusan berhubung ganti rugi kepada ibu Fadzrin, Fadhelah Othman, 56, selepas prosiding kes saman sivil wanita itu terhadap kerajaan dan polis dijalankan di sini hari ini.

    Mahkamah menetapkan bayaran RM50,000 bagi kos guaman, RM57,600 bagi ganti rugi kehilangan tanggungan, RM30,000 untuk ganti rugi kesedihan, RM50,000 ganti rugi teruk, RM3,000 untuk kos pengebumian, RM5,000 bagi kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka dan RM2,000 perbelanjaan perjalanan.

    Fadhelah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan defendan lain antaranya Ketua Polis Negara, Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah SPU juga pegawai serta anggota polis IPD SPU pada 2022.

    Ketika prosiding, Anand berkata berlaku kelalaian polis di lokap itu sehingga menyebabkan berlakunya kematian tahanan.

    Media sebelum ini melaporkan, Fadzrin yang merupakan penggali kubur ditahan di Kampung Perlis di Butterworth mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ditemui mati dipercayai menggantung diri di lokap IPD SPU pada 20 November 2019. 

    Sementara itu, Fadhelah ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi menyifatkan segala penat lelahnya berulang-alik dari Seberang Perai ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selama dua tahun berbaloi dengan keputusan mahkamah hari ini. – Bernama

    Reaksi Fadhelah Othman selepas prosiding kes saman sivil wanita itu terhadap kerajaan dan polis dijalankan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Modi ketuai sambutan hari yoga India

    INDIA, 21 JUN – Sambil meregang, melengkungkan punggung dan melutut di atas tikar, Perdana Menteri nasionalis Hindu India, Narendra Modi, mengetuai ratusan orang melakukan...