Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Urus niaga ‘terbesar’ Kumpulan Saudia beli 105 buah pesawat

    RIYADH, 20 MEI – Kumpulan Saudia dari Arab Saudi akan membeli 105 buah pesawat Airbus, kata syarikat tersebut hari ini dan menyebutnya sebagai urus niaga pesawat terbesar dalam sejarah negara itu.

    Syarikat penerbangan Saudia itu akan menerima sebanyak 54 buah pesawat A321neo, manakala flyadeal, cawangan bajetnya akan memiliki 12 buah pesawat A320neo dan 39 buah A321neo, kata satu kenyataan.

    “Perjanjian penting ini merangkumi 105 buah pesawat yang disahkan dan menandakan saat penting bukan sahaja untuk industri penerbangan Saudi tetapi juga untuk wilayah timur tengah dan Afrika utara yang lebih luas,” katanya.

    Pembelian yang dikatakan sebagai ‘urus niaga terbesar dalam sejarah penerbangan Saudi’ itu menandakan pelaburan lanjut oleh syarikat Saudi setelah lebih setahun selepas syarikat penerbangan baharu Riyadh Air diumumkan.

    Pihak berkuasa Saudi juga telah mengumumkan rancangan sebuah lapangan terbang besar baharu di ibu negara Riyadh dengan kemampuan untuk menampung 120 juta penumpang setahun.

    Sebelum perjanjian itu diumumkan, Saudia telah pun mempunyai armada 144 buah pesawat manakala flyadeal mempunyai 32 buah pesawat.

    Saleh Eid, naib presiden pengurusan dan perjanjian armada, memberitahu AFP bahawa penghantaran akan bermula pada 2026 dan berterusan sehingga 2032.

    Beliau enggan mendedahkan nilai perjanjian itu. – AFP

    Saleh Eid bercakap semasa temu bual di Forum Penerbangan Masa Depan di Riyadh pada 20 Mei. Kumpulan Saudia Arab Saudi akan membeli 105 pesawat Airbus.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...