Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    MATRADE rangka strategi perdagangan atasi cabaran geopolitik

    KUALA LUMPUR, 18 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merangka strategi bagi mengatasi cabaran geopolitik membabitkan konflik di Timur Tengah yang kian memuncak supaya tidak menjejaskan prestasi perdagangan.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, kesemua 49 pejabat MATRADE di luar negara telah diarahkan melakukan analisis mengenai pendedahan risiko geopolitik di kawasan masing-masing sekali gus mengatur strategi tuntas untuk mengurangkan impak berkenaan.

    “Kami sedang melakukan analisis dan eksport Malaysia di negara yang terlibat konflik di Asia Barat. Jadi apa yang kita buat adalah mendapatkan maklumat mengenai trend eksport ke negara tersebut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

    “Jadi kita boleh gunakan negara atau bandar di kawasan berdekatan untuk mengeksport di negara yang terlibat konflik,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika konflik Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan Qatar sebelum ini, MATRADE telah mengeksport barangan ke negara terbabit menerusi Oman.

    Justeru, katanya MATRADE akan mengambil langkah sama sekiranya konflik di Timur Tengah berlarutan.

    Sementara itu, Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata antara strategi lain untuk mengurangkan impak risiko geopolitik ke atas perdagangan Malaysia adalah menambah pasaran baharu, terutama dalam kalangan pasaran baharu muncul.

    “Ini termasuk negara seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi dan Namibia, dengan kesemua negara ini telah menunjukkan peningkatan signifikan dan potensi besar untuk eksport produk tempatan.

    “Apabila pertumbuhan ekonomi China menyederhana sebelum ini, eksport kita ke sana telah berkurangan dan keadaan sama boleh berlaku di rantau lain. Jadi persediaan awal dan langkah penampan penting. Ini sedang dilakukan,” katanya. – Bernama

    Reezal Merican semasa menyampaikan ucapan pada majlis prapelancaran MIHAS 2024 di Menara MATRADE, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    April bulan terpanas dalam rekod Hong Kong

    HONG KONG, 2 MEI - Hong Kong merekodkan bulan April adalah paling panas sejak rekod meteorologi bermula pada 1884, menurut pemerhati cuaca bandar itu. Suhu...