BELURAN, 3 DIS – Mayat seorang lelaki dewasa ditemukan terapung di Sungai Sapi dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda berkata mayat lelaki itu ditemukan oleh sepasukan mencari dan menyelamat kira-kira 11 pagi tadi selepas menerima maklumat orang awam yang ternampak mayat hanyut di Sungai Labuk.
“Lebih kurang 6 petang semalam, polis di Beluran menerima maklumat daripada orang awam yang ternampak mayat hanyut dari atas jambatan Sungai Labuk di Kampung Bambangan.
Bertindak atas maklumat, satu operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh Balai Polis Tagas-Tagas, namun tidak berjaya kerana cuaca gelap dan air yang deras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kasim berkata operasi bersambung pukul 7 pagi tadi bersama Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung. Katanya, mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. – Bernama