Saturday, October 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe cetak gol terakhir buat PSG

    PARIS, 13 MEI – Kylian Mbappe menjaringkan gol pada penampilan terakhirnya di laman sendiri sebagai pemain Paris Saint Germain (PSG) tetapi juara Perancis itu mengalami kekalahan mengejut 1-3 menentang Toulouse pada malam mereka menjulang trofi kejuaraan Ligue 1.

    Mbappe mengesahkan dalam video yang disiarkan di media sosial bahawa dia akan meninggalkan PSG apabila kontraknya tamat pada penghujung musim, mengakhiri hubungan selama tujuh tahun bersama kelab itu.

    Real Madrid dijangka menjadi destinasi seterusnya bagi pemain yang pemergiannya dari Paris tidak lagi menjadi rahsia sejak Februari lalu, apabila dia secara peribadi memaklumkan kepada kelab mengenai hasratnya untuk berpindah.

    Mbappe memakai lilitan kapten dan membuka jaringan awal menentang Toulouse untuk membawa jumlah golnya musim ini kepada 44 dalam semua pertandingan.

    Bagaimanapun, Thijs Dallinga pantas menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat yang berdepan dengan pasukan ‘kedua’ PSG.

    PSG melakukan 10 pertukaran berbanding kesebelasan utama yang tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah di tangan Borussia Dortmund pada separuh akhir pertengahan minggu lalu, dengan Mbappe satu-satunya pemain dikekalkan.

    Yann Gboho meletakkan Toulouse di hadapan dengan jaringan cemerlang pada separuh masa kedua sementara Frank Magri melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan ketika PSG hanya mengalami kekalahan kedua Ligue 1 musim ini, dan yang pertama dalam 27 perlawanan sejak September.

    Mbappe kini sudah menjaringkan 256 gol untuk PSG bagi mencipta rekod kelab, sejak menandatangani kontrak dari Monaco pada 2017 dalam perjanjian bernilai AS$194 juta.

    Jumlah 191 gol yang dijaringnya dalam liga utama Perancis – termasuk 16 dengan Monaco pada awal kariernya – meletakkannya di tempat ketujuh dalam senarai sepanjang zaman. – AFP

    Mbappe (kiri) dan Ethan bergambar bersama ibu mereka di stadium Parc des Princes di Paris. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda