KOTA KINABALU, 31 Okt – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) peringkat daerah di seluruh Sabah bakal diwujudkan pada tahun depan, kata Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata pihaknya telah membincangkan perkara itu bersama pihak MCPF Sabah dan individu yang akan mengetuai MCPF peringkat daerah itu akan diputuskan kemudian.
“Syaratnya individu yang akan mengetuai MCPF daerah itu adalah dalam kalangan mereka yang telah menjadi ahli yayasan ini. Namun ahli jawatankuasanya boleh dipilih dalam kalangan individu yang akan menyertai MCPF daerah itu kelak.
“Kita berharap penubuhan MCPF ini dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan dan ia dapat menjalankan tanggungjawab mewujudkan kesedaran pencegahan jenayah di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Mengenai kunjungan itu, Lee berkata ia bertujuan untuk membincangkan beberapa perkara yang bakal diadakan melalui kerjasama polis Sabah dan MCPF.
“Dalam perjumpaan ini kami membincangkan mengenai pelaksanaan program perbincangan ‘Town Hall’ peringkat negeri di Sabah pada tahun depan di Tawau. Tarikh dan masa program itu akan diberitahu kemudian,” katanya.
Beliau berkata program itu diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi yayasan MCPF.
“Dalam program itu kita akan menerangkan peranan dan apa yang dibuat MCPF sejak ditubuhkan 24 tahun lepas.
“Orang ramai juga berpeluang mengutarakan pandangan dan cadangan untuk mengurangkan kadar jenayah pada program itu dan yang paling penting MCPF akan merumuskan cadangan yang diberikan oleh orang ramai, untuk dilaksanakan,” katanya. – Bernama