Oleh Imelda Groves HA
JIKA di luar negara, persembahan teater sudah menjadi sebahagian mata pencarian setiap pengusahanya. Namun di negara ini masih terdapat beberapa kekurangan terutama dari platform pementasan yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai sebuah syarikat perniagaan.
Sama seperti panggung wayang komersial, panggung pementasan teater juga boleh dikomersialkan dengan penglibatan beberapa pihak yang berkepentingan dan platform tetap untuk menjadikan pementasan sebagai aktiviti yang boleh menjana ekonomi negara, seterusnya menjadikannya sebagai peluang pekerjaan.
Apabila platform pementasan disediakan maka terbitlah kumpulan belia kreatif untuk mengusahakannya sebagai syarikat persendirian yang mengelar mereka sebagai Sutera Memento yang baru-baru ini telah pun mendapat sambutan hangat dan maklum balas positif dari penontonnya.
Sambutan yang menggalakkan dan positif dari lebih kurang 150 penonton yang hadir menyaksikan pementasan teater ‘Takdir’ telah memberikan impak yang bermakna di mana ia menunjukkan bahawa pementasan tempatan juga mendapat tempat di hati para penonton di Brunei ini.
Pemantasan teater yang diadakan semasa Malam Minggu Pusat Belia, baru-baru ini, bukan hanya sekadar menjadi wadah hiburan, namun unsur-unsur pengajaran dan pengupasan isu-isu sosial dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan membuatkan ‘Takdir’ menjadi senang difahami dan relevan untuk ditonton.






Dengan adanya pementasan teater seperti ini, ia diharap agar dapat membuka mata dan minda para penonton tentang realiti kehidupan dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya.
Pementasan teater ‘Takdir’ telah berlangsung pada malam 5 Januari 2019 di Pusat Belia sempena Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) yang diungkayahkan oleh Pusat Belia dan disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Sinopsis TAKDIR memuatkan kisah seorang wanita muda Nishya yang berjaya dalam kerjayanya namun tertekan dengan kesepian setelah kematian ibunya.
Keadaan bertambah buruk ketika dia berjuang dengan cinta terlarang kerana masa lalu keluarga. Apa sebenarnya yang berlaku yang telah disimpan oleh keluarga nya setelah sekian lama? Keberanian cerita ini merangkumi isu-isu keluarga yang sering disimpan dalam masyarakat.
Melalui cerita yang dikemukakan oleh ‘Takdir’, diharapkan dapat mencipta dan menyebarkan kesedaran mengenai institusi kekeluargaan yang rosak dan bagaimana kesannya dapat mendorong seseorang ke dalam kemurungan atau bahkan membunuh diri.
“Kami berharap ‘Takdir’ dapat menjadikan langkah pertama Sutera Memento dalam memvisualisasikan untuk menyebarkan kesedaran mengenai isu-isu sosial dan keluarga yang sering tidak diucapkan di depan umum”, jelas Dewi HK, Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Memento.
Katanya dalam menjelaskan pengalaman yang luar biasa bagi pasukan mereka untuk menjadi sebahagian daripada aktiviti Malam Minggu Pusat Belia, berkata, “pada masa yang sama memberikan keseronokan juga. Sebagai platform untuk menyerlahkan penglibatan dan bakat belia, projek ini adalah selaras dengan misi dan visi Sutera Memento yang mana membuka peluang bagi para pemuda dan peminat teater untuk mengembangkan lagi kemahiran dan kepakaran mereka.”
Dengan kejayaan ‘Takdir’, Sutera Memento berharap agar lebih ramai lagi anak tempatan bergiat aktif dalam bidang pementasan dan pengisian cerita lokal yang sekali gus akan menarik lebih ramai penonton pementasan lokal di masa akan datang.
Keterlibatan bersama MMPB tidak terhenti di sini, Sutera Memento akan mengadakan lagi beberapa aktiviti di Pusat Belia pada setiap hari Sabtu pertama pada setiap awal bulan iaitu merangkumi bengkel, seminar, mini produksi dan sebagainya.
Selain itu juga Sutera Memento akan bergiat aktif di luar lingkungan MMPB dan berharap peminat seni kreatif dan pementasan teater akan sentiasa menyokong dan menerima karya-karya tempatan.
Salah seorang daripada penonton yang ingin digelar sebagai ‘Honey Bee’ memberikan ulasan mengenai dengan pementasan teater ini dengan berkata, “Satu pementasan teater yang hebat yang jarang sekali diadakan di Negara kitani.
“Ia merupakan satu pengalaman baru bagi saya kerana saya tidak pernah menyaksikan dengan mata saya sendiri cara pementasan teater di negara kitani yang berlangsung selama dua jam dalam keadaan yang begitu mendebarkan dan disertakan dengan lampu-lampu dan muzik-muzik yang bersesuaian dengan jalan cerita tersebut”.
Katanya lagi, “Jalan plot teater tersebut sangat menarik dan kesudahannya memang tidak disangka. Pementasan teater tersebut berjaya membuat penontonnya terpesona dari awal hingga ke akhirnya.”
Pembabitan anak tempatan
“Saya berharap lebih ramai lagi anak seni kitani berkecimpung di dunia pementasan seperti yang telah saya tonton, lebih-lebih lagi pementasan teater yang mengisahkan kehidupan seharian kitani yang mungkin kitani tidak ketahui walaupun cerita pementasan tersebut tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak tapi ia mungkin sahaja terjadi terhadap individu tertentu yang kita tidak ketahui”, jelasnya lagi.
Pelakon teater pentas, Amirul D.Hamzah sebagai Zafran juga turut memberikan komen aktiviti seperti ini mampu memberikan sumber inspirasi, kawan baharu dan cara hidup yang baharu bagi beliau.
“Rasa bersyukur kerana diberikan peluang untuk merasa berlakon di atas pentas dan menyedari akan mensyukuri nikmat yang diperolehi pada diri sendiri. Takdir penentu segala-galanya, saya berharap persembahan ‘Takdir’ dapat diadaptasikan ke filem. Ia adalah sebuah cerita yang cantik,” ujarnya.
Syazni Bakar sebagai Amir/Bob juga selaku pelakon teater berkata persembahan ‘Takdir’ ini merupakan persembahan pentas pertama yang dibuat oleh beliau dalam bahasa Melayu.
“Memang terasa berbeza daripada bahasa Inggeris. Tambahan lagi ani pertama kali memegang watak sebagai seorang yang jahat. Memang payahlah membawa watak jahat ani, apatah lagi sentiasa marah dan mendera si isteri.
“Banyak tenaga yang perlu digunakan. Tapi alhamdulillah, usulnya semua orang tepakai dengan lakonan yang telah dibawakan,” jelas beliau menceritakan pengalaman terlibat dalam persembahan teater ini.
Salah seorang penonton yang ingin dikenali sebagai Suzila Ahmad menjelaskan ‘Takdir’ disampaikan secara bilingual, yang diselang-selikan dengan pemakaian Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Barisan pelakon sangat berbakat dan berjaya memberi gambaran cerita dengan penuh emosi dan penghayatan yang mendalam. Ia mengajak para penonton merasa berada dalam alam konflik percintaan dan pergolakan hidup kekeluargaan yang disampaikan.
Penceritaan bermula dengan ‘flash back’ ketika heroin berada dalam kesedihan kerana kematian ibunya. Si ayah pula berperanan sebagai pelindung kepada anak-anaknya.
Persembahan cerita digarap merentasi dua generasi yang ditakdirkan bertemu di pengakhiran cerita. Pengolahan cerita yang bijak mengajak penonton untuk cekap meneka percantuman pecahan cerita yang dilakonkan.
Kelengkapan yang digunakan walaupun tidak sempurna, tetapi tetap berperanan penting dalam jalan cerita yang disampaikan. Diari peninggalan si ibu menjadikan teater ini lebih bermakna kerana menyatukan dua generasi yang terpisah oleh takdir”, katanya.
Sementara itu, tenaga produksi, Bazilah Ali – Floor Manager dan Pengarah Produksi pula berkata, mengambil dua pangkat kerja dalam produksi teater Sutera Memento iaitu sebagai ‘Floor Manager’ dan juga sebagai Pengarah Produksi merupakan satu cabaran buat beliau memandangkan ini kali pertama beliau terlibat diri dalam bidang teater.
“Meskipun susah pada awalnya, saya banyak belajar tentang selok-belok teater bermula daripada sesi uji bakat untuk mengambil para pelakon yang berbakat dan memiliki karakter tertentu, memilih dan membeli barang-barang yang sesuai untuk pementasan, persiapan daripada segi latihan bersama para pelakon, hingga lah ke hari pementasan sendiri, di mana saya bekerjasama dengan kru yang lain untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.
“Dengan melibatkan diri dalam pementasan tersebut, saya banyak bertemu dengan orang-orang yang turut sama terlibat dalam bidang seni dari syarikat-syarikat yang lain dan juga telah berpeluang untuk meningkatkan keyakinan diri untuk bersuara dan berinteraksi dengan orang lain seperti dengan Menteri Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
“Meskipun penglibatan dalam pementasan ini sangat meletihkan, saya berasa puas dengan hasilnya kerana Sutera Memento telah berjaya menarik ramai penonton untuk hadir menyaksikan pementasan karya asal pertama buat Sutera Memento dan telah menerima banyak maklum balas yang positif,” ujarnya lagi.
Pengarah Pentas dan Teknikal, Atul Hjjul pula menceritakan pengalamannya dengan berkata, “Sebagai pengurus pentas saya berbesar hati kerana diberikan kesempatan untuk pertama kalinya berkecimpung di dalam bidang seni pementasan teater, banyak pengalaman yang telah saya perolehi terutamanya daripada segi pementasan dan kepentingan elemen-elemen teras seperti penggunaan cahaya dan muzik latar bagi menyokong pembawaan cerita, pembentukan suasana menurut sketsa dan juga membantu pelakon-pelakon untuk menjiwai watak masing-masing”.
Menurutnya penghasilan teater Takdir setentunya memerlukan banyak tenaga, mentaliti yang kuat dan yang penting sekali, perlunya bersikap sabar dan toleransi kerana banyak perkara yang harus dilalui seperti jadual pelakon-pelakon dan krew produksi yang berbeza-beza, kerana sebilangan ahli produksi mempunyai pekerjaan tetap yang menjadikan masa untuk berlatih menjadi terhad.
“Pengalaman yang saya perolehi semasa bekerja bersama Sutera Memento telah banyak menukar pandangan saya tentang industri seni kreatif di Brunei dan telah mengajar saya tentang kepentingan persefahaman dan ketelitian dalam menjalankan tugasan kerana ia memberi impak yang ketara kepada penghasilan sesebuah karya teater,” ujarnya.
Sutera Memento percaya bahawa karya tempatan mampu diangkat dan bersaing dengan karya luar dengan menambah keunikan elemen calak Brunei dan berlandaskan lunas-lunas Melayu Islam Beraja (MIB). Sutera Memento adalah sebuah perusahaan teater yang memberikan tumpuan kepada drama asal tempatan.
Dalam menyokong industri kreatif tempatan, Sutera Memento berusaha untuk mengembangkan bakat tempatan dan ahli kumpulan persembahan, jalan cerita tema melalui teater, dengan cara Brunei tersendiri.