Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Memulihara seni warisan kerikam Sarawak

    Sulaman kerikam atau lebih dikenali sebagai keringkam, merupakan seni sujian yang sinonim dengan masyarakat Melayu Sarawak.

    Lazimnya dihasilkan pada selendang dan selayah, kerikam merujuk kepada benang kasar daripada logam berwarna emas atau perak yang digunakan bagi menekat pelbagai motif menarik, terutama corak bunga.

    Pada suatu ketika dahulu, selendang dan selayah kerikam ini merupakan pelengkap busana wanita Melayu Sarawak daripada keluarga bangsawan dan orang berada, yang digayakan semasa menghadiri keraian.

    Namun, seiring peredaran masa, selendang kerikam kini turut dipakai oleh golongan biasa, malah dianggap sebagai ‘wajib ada’ bagi setiap keluarga Melayu Sarawak. Tidak kurang juga yang menjadikan kain bersulam kerikam ini sebagai pusaka untuk diwarisi oleh anak cucu mereka.

    Putaran roda masa juga memperlihatkan seni sulaman kerikam tidak lagi terhad pada selendang atau selayah, sebaliknya turut ditemukan pada busana tradisional seperti baju kurung.

    Antara koleksi seni sulaman Keringkam yang dipamerkan di Muzium Brooke, Kuching di bawah program Aspire. – Bernama
    Salliza Sidani. – Bernama
    Shahira Ahmed Bazari (empat dari kanan), Jason Brooke (tiga dari kiri), bekas Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian, Tan Sri Norliza Rofli (tiga dari kanan) serta Ketua Muzium dan Pendidikan Brooke, Salliza Sidani (dua dari kanan) bergambar ramai ketika melawat ke Muzium Brooke, Kuching. – Bernama
    Pengasas D Keringkam, Danny Zulkifli. – Bernama

    DIANCAM KEPUPUSAN

    Akan tetapi, kerenyahan seni sujian ini membuatkan tidak ramai yang berminat untuk mempelajari, sekali gus mengancam kesinambungan kerikam.

    Penggiat seni tekat kerikam, Danny Zulkifli, 44, mengakui akan hal itu kerana beliau sendiri berdepan kesukaran menimba ilmu berkaitan sulaman tersebut ketika mula-mula terlibat dalam kraf berkenaan.

    “Saya sanggup belajar seni warisan ini bagi memastikannya tidak pupus. Seni sulaman keringkam sangat eksklusif dan saya terpaksa merujuk kepada orang-orang tua yang lebih mahir dan berpengalaman,” kata pemilik butik, D Keringkam itu semasa berucap pada program Aspire Warisan Pemeliharaan Tekstil dan Kemahiran Belia, anjuran Amanah Warisan Brooke tajaan Yayasan Hasanah, baru-baru ini.

    Mengenang kembali detik awal pembabitannya dalam seni sulaman kerikam pada 2008, Danny yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Santubong, berkata beliau mempelajari seni itu ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di pedalaman Mukah, wilayah tengah Sarawak.

    “Ketika mengajar di pedalaman, peluang untuk keluar dari kawasan sekolah adalah sukar kerana perlu menempuh perjalanan yang mencabar, iaitu jalan balak hingga dua jam.

    Ketika semua murid dan guru balik kampung (semasa cuti sekolah), saya memilih untuk tinggal seorang diri di sekolah.

    “Saya menggunakan masa terluang itu untuk berkarya dan mengasah ilmu yang dipelajari sehingga dapat menghasilkan sulaman keringkam yang berkualiti,” kata anak jati Kuching itu.

    HASILKAN BUKU TEKNIK KERIKAM

    Berkongsi cabaran utama menghasilkan seni kerikam pada ketika itu, Danny berkata ketiadaan jaringan Internet menyukarkannya membuat carian tentang teknik sulaman, mendorong beliau mengorbankan cuti hujung minggu bagi mencari pakar kerikam.

    “Masa itu tiada internet di sekolah, jadi apabila saya ada kemusykilan saya terpaksa turun naik bukit pada hujung minggu untuk bertanya kawan-kawan serta orang-orang tua berpengalaman dalam seni keringkam.

    “Dalam masa tujuh bulan saya mampu menguasai teknik seni keringkam dan sulaman motif. Tiada guru khas yang mengajar saya, pembelajaran hanya dengan bertanya kepada mereka yang mahir dan melihat contoh gambar sahaja,” kongsinya.

    Menyentuh seni kerikam yang dihasilkan di butiknya, Danny berkata lazimnya beliau mengambil masa hampir sebulan bagi menyiapkan kerikam bermotif sederhana dan tiga hingga empat bulan bagi kerikam pelbagai corak.

    “Jika terburu-buru hasilnya kurang memuaskan, kerana untuk menghasilkan satu motif urat benang pada kain, harus dikira keseimbangannya (jumlah corak),” katanya, menambah hingga kini lebih 60 kerikam pelbagai motif telah dihasilkan oleh beliau.

    PROGRAM ASPIRE JADI PLATFORM

    Sementara itu, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata generasi muda berdepan risiko kehilangan warisan dan sebahagian identiti mereka apabila pengamal seni, budaya dan warisan sedia ada semakin dimamah usia.

    “Menyedari perkara ini, sejak beberapa tahun lepas, kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di beberapa negeri untuk memberi nafas baharu kepada tekstil warisan bagi mengembalikan semula kegemilangan kraf itu menerusi pelbagai usaha.

    “Antaranya menerusi program Aspire yang dapat mengangkat seni warisan tekstil seperti keringkam yang semakin dilupakan. Program Aspire merupakan platform untuk golongan muda mempelajari seni sulaman ini selama 18 bulan, termasuk tiga bulan sesi praktikal.

    “Program ini juga bertujuan membantu golongan yang kurang bernasib baik agar kemahiran yang diajarkan kepada mereka seterusnya dapat dimanfaatkan untuk kesinambungan warisan negeri Sarawak melalui keusahawanan,” kata beliau.

    Sementara itu, Pengerusi Amanah Warisan Brooke, Jason Brooke berkata program Aspire adalah penting kerana ia menyediakan sokongan sosial secara langsung kepada anak muda yang kurang bernasib baik, diinspirasikan oleh asal-usul Amanah Warisan Brooke di Sarawak, khususnya berkaitan Muzium Ranee.

    “Ranee (Margaret Brooke) dikenali sebagai penaung keringkam dan songket. Kami memiliki sebahagian daripada kain bersulam keringkam beliau yang kemudian membawa kepada penubuhan Muzium Ranee bagi mempamerkan kraf terbabit.

    “Kami memulihara warisan ini bukan kerana usianya tetapi mahu berkongsi cerita di sebalik seni itu agar ahli masyarakat dapat mengenali susur galur warisan mereka,” ujar beliau pada majlis itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...