Oleh Daniel Lim
BELAIT – Seramai 53 pelajar dan belia dari pelbagai sekolah di Daerah Belait mendapat pengalaman perjalanan yang unik melalui nadi Borneo sebagai sebahagian daripada program anjuran Jabatan Belia dan Sukan, cawangan Daerah Belait, baru-baru ini.
Lawatan yang bertemakan ‘Jejak Wasai Teraja dan Jejak Wasai Belulok 2019’ itu dimulakan dengan perbincangan di Kompleks Sukan Mumong pada awal pagi sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Rumah Panjang Teraja.
Lawatan berkenaan diadakan bertujuan bagi membantu para pelajar dan belia untuk mengisi masa lapang serta memperkenalkan kawasan wasai kepada generasi muda sambil mempromosikan kepentingan kawasan tersebut sebagai inisiatif eko pelancongan bagi menarik para pelancong untuk meneroka flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut.
Taklimat oleh penduduk kampung
Para pelajar dan belia telah disambut oleh Setiausaha Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja, Gaung Jamit yang turut memberi taklimat mengenai kawasan sekitar Teraja dan Belulok sebelum sesi pemanasan badan dan Doa Selamat.
Sebelum menjelajah kawasan sekitar Wasai Teraja dan Belulok, para peserta diberi taklimat oleh penduduk rumah panjang tentang pelbagai langkah keselamatan yang perlu diambil ketika menuju ke wasai tersebut.
Selain melawat kawasan sekitar Teraja dan Belulok, para peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti berpasukan serta menjalankan khidmat masyarakat dengan membersihkan kawasan sekitar wasai.
Selain itu, peserta juga mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan selepas rehat tengah hari sebelum kembali ke Kompleks Sukan Mumong.







