Tuesday, November 19, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengapa warga emas kurang berbelanja?

    Oleh Dr Pola Singh –

    Saya mengenali warga emas yang hampir hidup seperti orang miskin walaupun mempunyai wang yang banyak.

    Disebabkan mereka sangat taksub tentang kehabisan wang, mereka hampir tidak berbelanja dan apabila berbelanja, mereka hanya membeli keperluan asas dan hanya sesekali bermewah-mewahan, seperti makan di restoran mahal atau membeli sendiri sesuatu yang mereka inginkan.

    Ringkasnya, mereka mahu mengatur perbelanjaan mereka sebaik mungkin dan faktor suasana, keselesaan dan kemudahan seperti itu menjadi tumpuan utama dalam membuat keputusan.

    Mengapa berjimat cermat?

    Walaupun generasi muda tidak ragu untuk berbelanja dan berasa selesa mengenainya, ia adalah cerita yang berbeza untuk warga emas.

    Kebanyakan warga emas ini menerima wang bulanan daripada anak-anak mereka sebagai sokongan kewangan, tetapi wang tersebut biasanya akan dijadikan sebagai simpanan untuk kegunaan pada masa akan datang, terutama dalam keadaan yang tidak pasti atau tidak terduga.

    Bagaimanakah kita memujuk mereka untuk berbelanja sakan sekali-sekala? Contohnya, memberi diri mereka suatu kepuasan sebulan sekali – menikmati hidangan yang lazat di restoran yang mahal – atau pergi ke destinasi impian mereka untuk bercuti. – Gambar Freepik
    Bagaimanakah kita memujuk mereka untuk berbelanja sakan sekali-sekala? Contohnya, memberi diri mereka suatu kepuasan sebulan sekali – menikmati hidangan yang lazat di restoran yang mahal – atau pergi ke destinasi impian mereka untuk bercuti. – Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Kebanyakan mereka bergelut di awal kehidupan apabila ibu bapa mereka terpaksa bekerja keras semata-mata untuk menampung kehidupan mereka. Keluarga mereka berjuang dan menderita dalam senyap.

    Masa-masa sukar itu begitu terpahat dalam fikiran sehingga memberitahu diri mereka sendiri bahawa mereka tidak ingin melalui lagi masa-masa sukar yang dialami oleh keluarga mereka.

    Mereka meneruskan sikap berjimat cermat ini sepanjang hidup mereka walaupun pada usia senja kerana mentaliti mereka untuk bersikap sedemikian sudah dipraktikkan dari zaman kanak-kanak hinggalah bekerja.

    Tumpuan terus diberikan dalam penyimpanan wang dan menyimpan sebanyak mungkin kerana ketakutan ‘kehabisan wang’ yang terpahat dalam fikiran mereka.

    Sikap seperti ini boleh difahami sepenuhnya, malah ia sebenarnya terpuji jika dibandingkan dengan cara generasi sekarang kadangkala boros yang melebihi pendapatan mereka.

    Tetapi apabila sikap menyimpan sebanyak mungkin ini dikekalkan sepanjang hayat mereka, akan jadi tanda tanya bila mereka akan membelanjakannya.

    Warga emas mengetahui berapa banyak yang akan mereka belanjakan setiap bulan, tetapi mereka akan terus membuat simpanan untuk digunakan pada masa kecemasan sehingga tahap berjimat cermat mereka itu menghalang mereka menikmati hidup.

    Bagaimanakah mereka terus menjimatkan wang?

    Mereka lebih suka menaiki bas daripada menggunakan GrabCar (bayaran cas yang mahal bagi mereka, terutama pada waktu sibuk) dan jangka masa menunggu yang panjang.

    Mereka terlalu terbiasa dengan kesusahanan itu dan mengatakan bahawa ia adalah perkara biasa.

    Bahkan dalam kecemasan, mereka lebih suka pergi ke hospital kerajaan (dan sanggup menunggu berjam-jam untuk berjumpa doktor) daripada membayar lebih untuk berjumpa doktor di klinik atau hospital swasta.

    Berkeras untuk menyimpan kereta mereka yang berusia 20 tahun (kereta tua) walaupun perlu kerap menghantar ke bengkel dan bersedia menghadapi risiko kereta mereka rosak di tengah-tengah jalan.

    Makan di luar hanya sekali-sekala dan itupun, di kedai kopi, pusat penjaja atau gerai mamak. Tidak mungkin warga emas ini terfikir untuk membelanjakan wang mereka untuk secawan kopi berjenama mahal di kedai kopi mewah.

    Pendek kata, warga emas mengamalkan sikap dan amalan yang telah menjadi kebiasaan mereka sejak dahulu (semasa hidup sukar) dalam usaha untuk berjimat dan menabung.

    Dalam sesetengah kes, terdapat juga tekanan daripada pasangan yang mencela orang lain dengan mengatakan sesuatu seperti, “wang tidak jatuh dari langit, kita perlu menyimpan sebanyak mungkin untuk menjaga keperluan perubatan masa depan kita.”

    Walaupun warga tua dapat dipujuk untuk membeli pakaian cantik, baju baru, jam tangan mahal dan sebagainya, mereka hanya akan memakainya sekali-sekala atau menunggu ‘masa yang sesuai’ yang mungkin tidak akan datang!

    Jadi, bagaimanakah kita mahu warga emas membelanjakan wang dan simpanan mereka untuk diri mereka sendiri sekarang? Bagaimanakah kita memujuk mereka untuk melepaskan (dan berbelanja secara bermewahan) sekali-sekala? Contohnya, memberi diri mereka suatu kepuasan sebulan sekali – menikmati hidangan yang lazat di restoran yang mahal – atau pergi ke destinasi impian mereka untuk bercuti.

    Bagaimanakah kita mencipta lebih banyak kenangan yang menyeronokkan dan menggembirakan untuk mereka? Bagaimanakah kita hendak menghantar mesej kepada mereka bahawa wang simpanan titik peluh mereka di bank bukan milik mereka jika mereka tidak membelanjakannya? Pendek kata, bolehkah kita mendidik warga emas untuk ‘menikmati’ kehidupan lebih sedikit?

    Saya pasti kesedaran warga emas tentang batasan masa yang mereka miliki untuk menikmati hidup, namun mereka cenderung untuk menahan diri dari godaan untuk menghabiskan waktu dengan melakukan aktiviti yang membawa kebahagiaan dan kegembiraan. Jika makanan yang berharga antara RM100-RM200 adalah sesuatu yang sangat mereka nantikan dan ingin nikmati, maka mereka seharusnya mengambil peluang untuk melakukannya.

    Tetapi terdapat pengecualian. Seorang rakan sekerja saya berusia 60an yang mengambil persaraan pilihan pada usia 50 tahun merumuskannya dengan cara ini: “satu pertiga daripada hidup saya dihabiskan untuk membesar dan mendapat pendidikan, satu pertiga lagi dibelanjakan di tempat kerja. Saya ingin memanfaatkan satu pertiga terakhir dalam hidup saya dengan sebaik mungkin dengan melakukan perkara yang saya suka dan menikmati aktiviti yang saya rasa menyeronokkan dan bermanfaat.”

    Dia menambah “saya akan berbelanja dan berfoya-foya jika perlu, saya kini kurang memberi perhatian kepada apa yang orang lain katakan kerana saya mahu melakukannya dengan cara saya sendiri.”

    Saya tahu seorang wanita berusia 77 tahun yang juga kurang berbelanja tetapi ada kelainan di sini. Dia tanpa ragu-ragu menyumbangkan sebahagian daripada apa-apa wang yang dia terima kepada kuil atau pusat untuk orang kelainan upaya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda