Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Berhemat dalam penggunaan air pada bulan Syawal

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Selaku hamba Allah SWT hendaklah sentiasa mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kita di dunia ini, dan antara nikmat terbesar adalah air.

    Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Menghargai dan Mesyukuri Nikmat Air hari ini seterusnya menjelaskan, ada kebiasaannya pada bulan kemenangan umat Islam, penggunaan air akan meningkat.

    Ini sebagai contoh untuk menyediakan juadah hidangan bagi sanak saudara, membersihkan peralatan dapur, bilik, perabot dan untuk mencuci pakaian yang banyak lebih daripada hari-hari biasa serta membersihkan kenderaan dan menyiram bunga-
    bungaan.

    Sebagai umat Islam, tegas khatib, janganlah lalai dari melaksanakan tanggungjawab dan amanah ter-hadap kemudahan air ini iaitu menggunakan dan memanfaatkan sumber air yang ada dengan cara berhemat dalam menggunakan air serta mengelakkan daripada pembaziran, selain perlu menjaga ketersediaan air agar masih dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

    “Alangkah bertuah dan beruntung dapat menikmati semua kemudahan yang disediakan dan diberikan di negara ini.

    Gambar Freepik

    “Cuba kita kenang dan bayangkan saudara Islam di Palestin yang tidak dapat menikmati dan merayakan Hari Raya Aidilfitri di mana fasiliti kesihatan, perhubungan, sumber makanan, bahkan sumber air disekat,” tegasnya.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk merayakan Syawal dengan berpada-pada sambil ingat mengingati sesama sendiri dan memanfaatkan rezeki serta nikmat yang dikurniakan.

    Khatib dalam khutbahnya turut mengongsikan pelbagai cara dan usaha yang boleh dilakukan dalam memanfaatkan nikmat air antaranya, sebagai ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dari kecil iaitu bermula dari rumah untuk tidak membazir air.

    Ini merangkumi rutin harian seperti memberus gigi dan mandi, di samping menjadi contoh dan saling menegur ahli keluarga dalam mengamalkan tabiat baik dan betul dalam penggunaan air.

    Ini seperti tidak membiarkan paip air terbuka dan mengalir di sinki ketika sedang membuat persiapan hidangan juadah untuk keluarga.

    Menggunakan tangki tadahan untuk menyambut air hujan juga adalah antara alternatif lain dalam penjimatan air, di mana air hujan boleh digunakan bagi menyiram pokok bunga, membersihkan kawasan rumah, longkang, garaj dan seumpamanya.

    Selaku rakyat dan pengguna yang bertanggungjawab, hendaklah sentiasa memantau penggunaan air melalui bil air dan menjelaskan dalam tempoh yang diberikan terutama jika ada bil yang tertunggak untuk mengelakkan ia menjadi beban di kemudian hari.

    Jadilah pengguna yang prihatin dengan melaporkan kepada pihak berwajib jika ternampak kebocoran paip air kerajaan di tepi jalan, selain hendaklah segera membaiki paip air jika ada kebocoran di rumah-rumah persendirian.

    Jika mendapati sebarang aktiviti mencurigakan seperti penggunaan air melalui pili air bomba tanpa sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa, hendaklah dilaporkan kepada pihak berkenaan.

    Dalam menghadapi kesulitan seperti air kekuningan dan penutupan air sementara, hendaklah bersabar serta memberi kepercayaan kepada agensi kerajaan untuk melaksanakan tugas.

    “Elakkan daripada memberikan berita yang tidak sahih demi membolehkan pihak berkenaan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan dengan lancar, cepat dan cekap.

    “Air sangat berharga dan diperlukan untuk kehidupan seharian dan sebagai pengguna hendaklah mengamalkan sifat berjimat cermat dalam menggunakannya.

    “Marilah kita menggunakan air dengan mengikut kadar keperluan sahaja, dan secara tidak langsung akan dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi membersih, merawat dan membekalkan air untuk kegunaan setiap hari,” jelasnya.

    Di samping itu, khatib turut menyeru untuk mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang telah dikurniakan Allah dan sama-sama berdoa mudah-mudahan nikmat air akan berkekalan dan terus dinikmati.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...