Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Berjimat dalam penggunaan air

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang terlalu banyak dan tidak terkira kepada hambaNya dan antara nikmat terbesar yang dikurniakan olehNya adalah air.

    Air merupakan sumber kehidupan yang paling berharga dan menjadi asas kepada kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Kepentingan Air dalam Kehidupan’ hari ini seterusnya berkata, “Penduduk di negara ini sangat bertuah kerana Brunei Darussalam dikurniakan dengan sumber air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat dan penduduk serta aktiviti sosioekonomi seperti pertanian, perikanan, perindustrian dan seumpamanya.

    “Hampir keseluruhan penduduk di negara ini dapat menikmati bekalan air bersih yang berterusan,” jelasnya.

    Khatib seterusnya menegaskan, perlu disedari bahawa terdapat beberapa buah negara luar menghadapi masalah kekurangan bekalan air atau masalah pencemaran kepada sumber air yang ada.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjelaskan lebih dua bilion orang yang tidak mendapat bekalan air bersih dan terpaksa mengangkat sendiri air dari telaga atau sungai menuju ke rumah masing-masing untuk kehidupan seharian.

    Lebih membimbangkan lagi, jelas khatib, kesan kepada mereka yang meminum dan menggunakan air yang tidak bersih atau terjamin akan menyebabkan masalah kepada kesihatan dan kematian akibat wabak penyakit dan sebagainya.

    Khatib seterusnya menegaskan, nikmat air yang diterima perlu disyukuri dengan mengamalkan sikap berjimat cermat semasa menggunakannya, kerana berjimat cermat adalah satu amalan yang mulia.

    Pihak kerajaan telah menyediakan prasarana dan kemudahan air yang bernilai berjuta ringgit untuk membersih, merawat dan membekalkan air ke rumah-rumah dan premis di negara ini.

    “Sama ada kita menyedari atau tidak, kita seakan kurang menghargai nikmat air buat masa ini, ia masih mudah diperolehi.

    “Akibat kurang menghargai nikmat air, terdapat sebilangan orang yang membazirkan air dengan menggunakan lebih daripada kadar yang diperlukan,“ tegasnya.

    Khatib seterusnya menambah, bayangkan kesukaran yang berlaku setiap kali bekalan air ditutup atau dengan sebab lain seperti kemarau, paip air rosak dan seumpamanya di mana rutin kehidupan harian pasti akan terjejas.

    Dalam menghadapi keadaan itu, sebagai pengguna hendaklah meningkatkan kadar dan memberikan kepercayaan kepada pihak yang telah diamanahkan untuk melaksanakan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

    Sehubungan itu, ulama sepakat mengatakan membazir air merupakan satu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika ini, air banyak dan mudah diperolehi.

    “Sifat membazir adalah satu sifat yang dicela kerana Allah SWT tidak menyukai orang yang membazir dan berlebih-lebihan,” tegasnya.

    Khatib menyeru semua penduduk di negara ini untuk meningkatkan kesedaran akan pentingnya air dalam kehidupan seharian, di samping mengubah sikap dengan mengambil lebih berjimat cermat dalam menggunakan air bagi mengelakkan pembaziran.

    Ini dengan menggunakan air dengan mengikut kadar keperluan saja, yang mana ia secara tidak langsung juga dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membersih, merawat dan membekalkan air untuk kegunaan setiap hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...