Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menjalani Ujian Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound: Adakah Diwajibkan Mandi Hadats?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ujian kesihatan ke atas perempuan dengan menggunakan kaedah Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound semakin kerap digunakan di pusat-pusat rawatan.

    Ujian Pap Smear dilakukan untuk memeriksa dan mengesan jika ada ketumbuhan pada rahim atau serviks. Sementara itu, transvaginal ultra sound adalah prosedur terbaik untuk mengkaji dan memeriksa rahim dan adnexa.

    Memandangkan prosedur kedua-dua rawatan tersebut dilakukan dengan memasukkan peralatan rawatan ke dalam faraj, berlaku kekeliruan dalam kalangan sesetengah orang khususnya perempuan mengenai hubungkaitnya dengan thaharah sama ada prosedur tersebut menyebabkan junub dan mewajibkan mandi hadats ataupun tidak.

    Di dalam hukum syara‘, perkara-perkara yang menyebabkan wajib mandi itu ialah mati, haidh, nifas, melahirkan anak dan junub.

    Junub adalah salah satu perkara yang menyebabkan wajib mandi ke atas seseorang.

    Foto Canva

    Pensyari‘atan ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib).
    (Surah al-Ma’idah: 6)

    APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN JUNUB?

    Dari segi bahasa, junub dan janabah bererti jauh. Dari segi istilah syara‘ pula, janabah ialah perkara bersifat ma‘nawi yang tertanggung ke atas tubuh badan seseorang iaitu yang menegahnya daripada sah sembahyang ketika mana tidak ada murakhkhish (kelonggaran).

    Junub berlaku ke atas orang yang hidup sama ada sebagai pelaku ataupun diperlakukan ke atasnya.

    Adapun orang yang mati, tidak diwajibkan ke atasnya mandi disebabkan junub kerana terputusnya taklif dengan kematian, melainkan mandi disebabkan mati iaitu sebagai memuliakannya.

    SEBAB-SEBAB JUNUB

    Janabah atau junub di sisi syara‘ adalah disebabkan keluar air mani dan jimak iaitu masuk hasyafah ke dalam faraj.

    i- KELUAR AIR MANI

    Air mani ialah cecair berwarna putih dan pekat. Tiga ciri utama air mani ialah:

    i- Keluar dengan terpancut,
    ii- Waktu keluar terasa lazat dan diikuti dengan syahwat dan zakar menjadi lemah,
    iii- Bau seperti bau adunan tepung gandum dan mayang kurma apabila basah dan seperti bau putih telur apabila kering.

    Apabila terdapat semua ciri tersebut atau terdapat salah satu daripadanya, maka cecair yang keluar itu adalah air mani dan diwajibkan mandi disebabkannya.

    Pada kebiasaannya air mani lelaki bersifat pekat dan putih. Adakala juga air mani lelaki berwarna kekuningan dan cair disebabkan penyakit. Air mani perempuan pula cair dan kekuningan dan ada kala air mani perempuan itu berwarna putih. Selain itu, ada juga air mani lelaki atau perempuan yang keluar dengan warna kemerahan disertai sedikit darah.

    Para ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullahu Ta‘ala telah ijma‘ mengatakan bahawa diwajibkan mandi ke atas lelaki dan perempuan kerana keluar air mani sama ada diiringi dengan rasa syahwat ataupun tidak, sama ada dengan rasa seronok ataupun tidak, sama ada air mani itu banyak ataupun sedikit dan sama ada air mani itu keluar di dalam keadaan seseorang itu jaga mahupun ketika dia sedang tidur.

    Demikian juga, ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullahu Ta‘ala mengatakan bahawa diwajibkan mandi kerana keluar air mani sama ada air mani itu keluar disebabkan jimak, istimna’ (onani), bermimpi, melihat dan memikirkan sesuatu yang menimbulkan syahwat, berseronok dengan pasangan ataupun air mani itu keluar tanpa ada sebarang sebab.

    Pensyari‘atan wajib mandi ini adalah berdasarkan hadits yang antaranya diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Ummu Sulaim, isteri Abu Thalhah telah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bertanya yang maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu menyatakan yang hak (kebenaran), adakah diwajibkan mandi ke atas perempuan yang bermimpi (melakukan jimak)? Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Ya, apabila kamu nampak air (mani).
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    ii- JIMAK

    Jimak di antara lelaki dan perempuan iaitu dengan masuk hasyafah (kepala zakar) atau masuk kadar hasyafah bagi orang yang tidak ada hasyafah ke dalam faraj.

    Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu, ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Apabila duduk di antara bahagian perempuan yang empat (melakukan jimak) dan khitan bertemu khitan, maka diwajibkan mandi.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Bertemu dua khitan itu bermaksud masuknya hasyafah ke dalam faraj.

    Khitan ialah tempat yang dipotong ketika berkhatan iaitu kulup bagi lelaki dan bazhr bagi perempuan (daging yang tersembul dekat lubang kemaluan perempuan).

    Tidak ada perselisihan (khilaf) di kalangan ulama mazhab asy-Syafi‘i Rahimahumullahu Ta‘ala di dalam hukum wajib mandi disebabkan masuknya hasyafah ke dalam faraj. Yang dimaksudkan dengan diwajibkan mandi kerana masuknya hasyafah itu ialah masuknya keseluruhan hasyafah atau kadar hasyafah bagi orang yang terpotong hasyafahnya ke dalam faraj atau dubur, sama ada manusia atau binatang, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang mati, kanak-kanak atau orang tua.

    Demikian juga, diwajibkan mandi disebabkan masuknya hasyafah ke dalam faraj walaupun tanpa tujuan, terpaksa, tidak disertai syahwat, tidak keluar air mani dan walaupun hasyafah itu dimasukkan dengan berlapik.

    ADAKAH UJIAN PAP SMEAR DAN TRANSVAGINAL ULTRA SOUND MENYEBABKAN WAJIB MANDI?

    Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound adalah ujian rawatan yang menggunakan peralatan moden tertentu. Prosedur kedua-dua ujian rawatan tersebut melibatkan bahagian pelvis perempuan iaitu dengan memasukkan peralatan khusus ke dalam faraj.

    Dalam ujian Pap Smear, contoh sel serviks akan diambil melalui faraj dengan menggunakan sudip, pengelap kapas atau berus plastik. Sementara dalam Transvaginal Ultra Sound pula, transducer atau alat penerima gelombang suara frekuensi tinggi berbentuk lengkung digunakan. Alat tersebut ditutupi dengan gel pelincir dan sarung getah steril sebelum dimasukkan ke dalam faraj untuk membuat imbasan organ dalaman di bahagian pelvis.

    Bagi sesetengah perempuan yang menjalani salah satu daripada dua ujian rawatan tersebut, adakalanya menjadi keliru adakah perlu mandi hadats selepas menjalaninya?

    Berdasarkan penjelasan di atas, jelasnya ujian rawatan Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound tidak termasuk di dalam perkara yang menyebabkan wajib mandi sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘.

    Kedua-dua ujian rawatan tersebut tidak ada unsur jimak sebagaimana yang dimaksudkan oleh syara‘ iaitu bertemunya dua khitan ataupun masuknya hasyafah atau kadar hasyafah ke dalam faraj. Demikian juga, bentuk rawatan ini kebiasaannya tidak menyebabkan keluar air mani. Oleh itu, tidak ada sebab yang menunjukkan seseorang itu wajib mandi junub kerana menggunakan rawatan tersebut.

    Tetapi jika sekiranya perempuan yang menjalani ujian itu mendapati dengan melihat sendiri air mani dan yakin air mani tersebut air maninya, maka wajib ke atasnya mandi kerana salah satu perkara yang menyebabkan wajib mandi itu ialah apabila keluar air mani walaupun tanpa sebab dan tidak disertai syahwat.

    Demikian beberapa penjelasan mengenai ujian rawatan Pap Smear dan Transvaginal Ultra Sound dan hubungkaitnya dengan thaharah.

    Kesimpulannya, kedua-dua rawatan tersebut bukan menyebabkan seseorang itu junub yang mewajibkannya mandi hadats. Akan tetapi, jika keluar air maninya setelah menjalani salah satu ujian rawatan tersebut, maka barulah diwajibkan ke atasnya mandi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda