Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menjana kualiti kehidupan masyarakat bersepadu

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN – Program Satu Kampung Satu Keluarga telah pun dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada sesi kedua Muzakarah Bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini untuk dilaksanakan.

    Ini adalah merupakan salah satu usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Peneraju Strategi Keharmonian Sosial Melalui Perpaduan Masyarakat di bawah Wawasan 2035 untuk mencapai kualiti kehidupan masyarakat yang bersepadu dan berdaya tahan menjadi keutamaannya.

    Salah satu daripada isu kemasyarakatan serius yang memerlukan perhatian ialah kemiskinan dan isu sosial. Berdasarkan perangkaan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) jumlah pemohon bantuan kerajaan sama ada melalui Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) yang ditadbir JAPEM dan permohonan bantuan kumpulan zakat MUIB semakin meningkat kebelakangan ini.

    Mengurangkan jurang kemiskinan

    Yang Berhormat Pehin mencadangkan Program Satu Kampung Satu Keluarga dilaksanakan di setiap kampung untuk membantu mengurangkan jurang kemiskinan ini dengan mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan atau dalam kesusahan untuk dipantau dan diberikan bantuan bersesuaian termasuklah sokongan moral.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa berucap pada sesi muzakarah tersebut. – Gambar Yusrin Junaidi

    Para penghulu mukim dan ketua kampung seluruh Daerah Brunei dan Muara hadir pada sesi muzakarah bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang membincangkan isu dan perkembangan mukim dan kampung. – Gambar Yusrin Junaidi

    Yang Berhormat Pehin mencadangkan program itu dilaksanakan melalui jabatan-jabatan daerah dan mengalu-alukan penglibatan sukarelawan dalam mengungkayahkan inisiatif ini.

    Untuk itu, Yang Berhormat Pehin turut menyeru pemimpin akar umbi terdiri daripada penghulu-penghulu dan ketua kampung agar memberikan kerjasama padu dalam menggerakkan program ini dan rancangan-rancangan yang dicadangkan dan dibincangkan dalam muzakarah sesi kedua ini untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi strategi ini.

    Penglibatan SCOT dalam membasmi kemiskinan

    Society for Community Outreach & Training (SCOT) telah menganjurkan bengkel ‘Belia Membasmi Kemiskinan’ pada 20 hingga 22 Oktober yang lalu di Galeri ICTC, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Bengkel tersebut merupakan salah satu program jangkauan komuniti untuk melatih dan merangsang minat mengenai isu-isu kemiskinan di negara ini.

    Ia dihasratkan memberi pendedahan kepada para pemimpin muda untuk mengenal pasti isu-isu kemiskinan dan melatih mereka cara membasmi kemiskinan dalam melaksanakan projek susulan.

    Peserta bengkel telah pun dibimbing oleh mentor berwibawa dalam isu-isu kemiskinan yang akan membabitkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik hinggalah pemimpin masyarakat. Ia juga akan menjadi platform memperkasa keluarga kurang berkemampuan dan mempromosikan cara hidup mapan dalam masyarakat.

    Bengkel akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pembelajaran asas, perjalanan pembelajaran dan perbincangan bersama mentor. Peserta kemudiannya dijangka menganjurkan projek susulan dengan sokongan SCOT, pihak berkenaan dan institusi lainnya.

    SCOT berharap bengkel ini akan dapat mempertingkatkan kefahaman belia mengenai isu kemiskinan di negara ini, kesan dan ancaman peningkatan kadar kemiskinan, usaha-usaha yang sudah dijalankan oleh pihak berkenaan dan badan bukan kerajaan dalam membasmi kemiskinan di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda