Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Menteri, pemimpin politik zahir takziah kepada seluruh rakyat Iran

    KUALA LUMPUR, 20 MEI – Menteri dan pemimpin politik hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran, atas kehilangan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Dr Hossein Amirabdollahian, serta anak kapal yang terlibat dalam nahas helikopter di barat laut Iran, kelmarin.

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantarannya di laman X berkata, pemergian Raisi, pastinya amat dirasai khususnya dalam menonjolkan semangat kepimpinan bagi menggesa pemimpin negara-negara Islam, untuk mencapai keputusan tegas berhubung isu Palestin.

    “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah diucapkan kepada seluruh rakyat Republik Islam Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi,” katanya sambil menitipkan sekeping gambar ketika perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Raisi, semasa menghadiri mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada November 2023.

    Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, turut berdukacita dengan perkhabaran Allahyarham Raisi bersama Hossein dan penumpang lain dalam nahas terbabit, hari ini.

    “Kali terakhir bertemu rakan sejawat Dr Hossein Amirabdollahian, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran semasa United Nations Security Council (UNSC) Ministerial-Level Open Debate di New York Januari lalu dan perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu.

    “Allahyarham (Hossein) begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama. Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut berharap agar kesemua roh mangsa nahas berkenaan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

    “Saya mewakili seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mendoakan semoga seluruh ahli keluarga mangsa dan rakyat Republik Islam Iran dapat bersabar dengan ujian yang dihadapi ini. Salam takziah kepada semua,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Iran, di atas tragedi yang menimpa Presiden Ebrahim Raisi bersama delegasi kepemimpinan negara itu, dalam satu nahas helikopter di barat laut Iran, pada Ahad. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...