Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menerima kunjungan hormat dari Timbalan Pesuruhjaya Perdagangan bagi Asia Tenggara, Puan Yang Terutama Rhiannon Harries, sebagai Ketua Rombongan bagi Misi Perdagangan United Kingdom (UK) yang berlangsung di Dewan Persidangan, Kementerian Pendidikan, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, mengiringi Timbalan Pesuruhjaya Perdagangan ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Suruhanjaya Tinggi British Negara Brunei Darussalam, Catherine Pochkhanavala-Cleeve.
Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh; Penolong Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Joyce Teo Siew Yean; Penolong Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar; serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Tinggi British.
Semasa kunjungan hormat itu, Yang Berhormat Datin mengutarakan kerjasama teguh telah terjalin antara Brunei dan UK dalam bidang pendidikan.
Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan dalam memperkukuhkan lagi hubungan itu, bertujuan untuk mencapai pendidikan yang berkualiti.
Kunjungan hormat turut menyaksikan Perbincangan Meja Bulat di mana beberapa pembentangan telah disampaikan oleh ahli rombongan Misi Perdagangan UK yang termasuk wakil-wakil daripada Cambridge University Press, Pearson, uTalk, University of Newcastle, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Commonwealth Enterprise and Investment Council (CWEIC).