Saya masih ingat hari itu. Pagi yang sibuk dengan mesyuarat penting. Telefon bimbit saya, yang biasanya senyap semasa mesyuarat, mula berdering. Nama ibu mentua tertera di skrin. Saya berbisik dalam hati, “Mungkin ada kecemasan.” Dengan cepat saya meminta izin untuk keluar seketika dan menjawab panggilan itu.
“Ibu, ada apa ya?” tanya saya dengan nada cemas. Namun, jawapan yang saya terima membuatkan saya terkedu.
“Oh, tak ada apa-apa. Ibu nak tanya, kamu masak apa malam ini? Ibu ingat nak datang rumah kalau ada lauk lebih.”
Saya cuba mengawal emosi. Meskipun pertanyaan itu kedengaran remeh, saya menjawab dengan sopan dan memberitahu bahawa saya akan menelefonnya selepas mesyuarat selesai. Tetapi perasaan bercampur baur. Kenapa mesti waktu bekerja? Tidakkah dia tahu saya sedang sibuk?
Keadaan itu bukan kali pertama berlaku. Panggilan telefon daripada ibu mentua sering datang, bukan sahaja di rumah tetapi juga di tempat kerja. Kadang-kadang semasa mesyuarat, kadang-kadang ketika saya sedang bersiap mengejar tarikh akhir tugasan. Dan kebanyakan panggilan bukanlah mengenai perkara mendesak soalan kecil tentang lauk-pauk, jadual cucu atau cerita tentang jiran sebelah.
Pada awalnya, saya anggap ini sebagai tanda kasih sayang dan perhatian. Tetapi lama-kelamaan, ia menjadi beban yang memerlukan saya mencari jalan untuk menanganinya tanpa melukai hati mentua. Saya tahu dia tidak berniat buruk. Bagi dia, panggilan itu hanyalah cara untuk merasa dekat dan melibatkan diri dalam kehidupan kami.
Namun, bagi saya, ia mula memberi kesan kepada kerja dan emosi saya.
Situasi seperti ini membuat saya tertanya-tanya, adakah orang lain juga mengalami hal yang sama?
Kepada pembaca sekalian, pernahkah awda menghadapi situasi seperti ini? Bagaimana cara awda menguruskan hal ini?
Nina
NASIHAT DANG MP –
Terima kasih kepada Nina kerana berkongsi dengan kami. Memang benar, menjalani kehidupan profesional sambil menjaga hubungan keluarga yang harmoni adalah satu cabaran yang memerlukan keseimbangan. Dalam kes awda, situasi ini memberi tekanan apabila ingin menghormati ibu mentua, tetapi pada masa yang sama, kerja juga memerlukan perhatian.
Salah satu cara untuk menangani hal ini adalah dengan memastikan komunikasi yang jelas dan sopan. Meskipun ibu mentua tidak berniat buruk, mungkin dia tidak menyedari betapa pentingnya masa kerja awda.
Oleh itu, adalah penting untuk berbincang dengan lembut tetapi tegas tentang keperluan awda untuk memberi tumpuan semasa waktu kerja. Awda boleh memberitahunya bahawa awda sangat menghargai panggilannya tetapi waktu bekerja adalah masa yang sangat penting untuk fokus. Awda boleh mencadangkan waktu yang lebih sesuai untuk berhubung, seperti selepas waktu kerja atau pada waktu yang lebih santai.
Selain itu, ada baiknya jika awda sudah bersedia dengan respons yang sopan apabila panggilan datang semasa bekerja. Awda boleh mengatakan, “Ibu, saya sedang mesyuarat sekarang, bolehkah saya hubungi ibu selepas ini?” Ini adalah cara yang bijaksana untuk memastikan ibu mentua tahu bahawa awda sedang sibuk, tetapi masih memberi ruang untuk berkomunikasi nanti. Ataupun cadangkan kepada ibu mentua untuk meninggalkan mesej teks atau pesanan suara sebagai cara berhubung selain membuat panggilan terus.
Kadang-kadang, warga tua mungkin berasa kesunyian atau ingin berhubung dengan anak-anak mereka. Sebagai ahli keluarga yang penuh kasih sayang, kita perlu menunjukkan empati terhadap perasaan mereka. Walaupun panggilan tersebut mungkin dirasakan mengganggu, mungkin ada keperluan emosi atau rasa ingin dihargai daripada pihak mereka. Dengan memberi sedikit ruang untuk memahami keperluan mereka, awda dapat menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan hubungan keluarga.