Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Mesyuarat bincang persiapan hadapi kesan El-Nino

    KUALA LUMPUR, 8 FEB – Satu mesyuarat untuk membincangkan persiapan negara bagi menghadapi kesan fenomena El Nino dan jerebu akan diadakan pada 22 Februari ini di Putrajaya.

    Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat itu akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan.

    “Sebagaimana kita tahu (El Nino pada tahun ini) lebih kering dan panas daripada biasa. Ia bermula sejak tahun lepas yang juga merekodkan cuaca terpanas dalam sejarah dunia. Kita hendak memastikan persediaan yang terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Pasca Persidangan ke-28 Pihak-pihak (COP 28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara, di sini hari ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan media hari ini berkata fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka akan berterusan hingga pertengahan tahun ini.

    Muhammad Helmi berkata fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

    Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan mengenai langkah untuk mengatasi masalah kebakaran tanah gambut dan jerebu rentas sempadan bersama pihak terlibat termasuk dari Indonesia. – Bernama

    Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sesi soal jawab pada sesi forum mengenai Persidangan Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-28 di sebuah hotel kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...