NEW YORK, 17 MAC – Microsoft akan memperkenalkan alat kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai perisiannya, termasuk Word, Excel dan e-mel Outlook.
Syarikat itu berkata semalam ciri-ciri baharu itu, diberi nama Copilot, adalah enjin pemprosesan yang akan membenarkan pengguna melakukan perkara seperti meringkaskan e-mel panjang, merangka artikel dalam Word dan slaid animasi dalam PowerPoint.
Pengurus Besar Microsoft 365, Colette Stallbaumer berkata ciri-ciri baharu itu buat masa sekarang hanya disediakan kepada 20 pelanggan syarikat. Ia akan menawarkannya kepada lebih ramai pelanggan syarikat pada bulan-bulan akan datang.
Microsoft sedang memasarkan ciri-ciri itu sebagai satu alat yang akan membenarkan pekerja menjadi lebih produktif dengan memberikan mereka lebih banyak masa yang biasanya digunakan dalam inbox, atau membenarkan mereka menganalisis trend dalam Excel dengan lebih mudah.
Syarikat teknologi yang berpangkalan di Redmond, Washington itu juga akan menambah fungsi perbualan bergelar Business Chat, menyerupai ChatGPT. Ia menerima arahan dan menjalankan fungsi seperti meringkaskan e-mel mengenai projek tertentu kepada pekerja – denganmenggunakan data pengguna.
“Hari ini menandakan langkah besar seterusnya dalam evolusi bagaimana kami berinteraksi dengan komputer, yang akan mengubah cara kami bekerja dan membuka gelombang pertumbuhan produktiviti baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dalam satu kenyataan. – AP