Sunday, February 9, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi pelumba negara ke Bahrain

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Dua pelumba basikal negara iaitu Awang Abdul Hadrie Morsidi dan Awang Amiruddin Haji Mohamad Amir akan bertolak ke Bahrain bagi menyertai Kejohanan Basikal Asia 2017, mereka akan beraksi dalam dua kategori yang berbeza iaitu Awang Hadrie bagi kategori Elite dan Awang Amiruddin pula bagi kategori bawah 23 tahun.

    Perkara itu didedahkan oleh jurulatih Basikal Brunei Darussalam, Awang Yafiz Jamaludin ketika dihubungii hari ini berkenaan dengan penyertaan kedua-dua pelumba basikal negara yang bakal menyahut cabaran peringkat Asia itu nanti.

    “Mereka berdua ini terpilih ekoran kekurangan sumber dana untuk membawa lebih ramai pelumba ke sana, namun saya percaya kedua-dua pelumba ini kerana telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang terbaik di sepanjang tahun 2016,” jelas Yafiz Jamaludin lagi kepada Media Permata.

    Menurutnya, pencapaian terbaik mereka adalah pada penyertaan Brunei Classic baru-baru ini dengan mencatatkan masa terbaik bagi pelumba tempatan dalam kategori masing-masing, serta mereka berpeluang membuktikan kebolehan mereka untuk bersaing di peringkat Asia di sana nanti.

    Apabila ditanya mengenai peluang dan cabaran negara di Bahrain, katanya pada peringkat ini banyak negara yang besar ikut serta antaranya pasukan yang sememangnya terkenal seperti Korea, Jepun, China, Iran, Kazakstan yang sering mendominasi pertandingan itu sebelum ini.

    Awang Hadrie (kiri) dan Awang Amiruddin ketika menjalani sesi latihan sebelum bertolak ke Bahrain bagi menyertai Kejohanan Basikal Asia 2017.
    Awang Hadrie (kiri) dan Awang Amiruddin ketika menjalani sesi latihan sebelum bertolak ke Bahrain bagi menyertai Kejohanan Basikal Asia 2017.

    “Saya menjadikan penyertaan kedua-dua mereka untuk melihat keberkesanan dan kebolehan mereka berdua setelah menjalani latihan di dalam negara dan saya berharap mereka akan menunjukkan persembahan yang baik dengan menghalusi lagi pencapaian mereka di peringkat Sukan Asia Tenggara nanti,” ujarnya lagi.

    Menurutnya, matlamat utama tahun ini adalah Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur dan ini akan menjadi salah satu rancangan untuk mengukur prestasi mereka.

    “Kita tidak wajar membuat perbandingan di antara pelumba profesional dengan pelumba kita, namun semua kemungkinan boleh sahaja berlaku kerana kita juga mampu memberikan persaingan yang terbaik dan persiapan selama ini sememangnya bertumpu kepada Sukan Asia Tenggara,” ujarnya lagi.

    “Saya mahu dua pelumba negara tenang dan cuba menumpukan pada merehatkan badan di sepanjang perjalanan sebelum berlumba pada 28 Februari dan 1 Mac ini nanti, dan atas sebab mengelakkan kepenatan, kami bertolak jauh lebih awal bagi memastikan kedua pelumba akan mempunyai masa rehat yang optimum,” ujarnya.

    Di akhir temu bual, beliau menegaskan peserta negara akan menyertai perlumbaan jalan raya dan selaras dengan disiplin yang bakal disertai dalam Sukan Asia Tenggara nanti, serta berharap mereka akan berada di kelompok pelumba terbaik Asia Tenggara dengan sasaran pada tangga ke-15, manakala pingat adalah satu bonus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda