MOSCOW, 20 Jun – Kempen Piala Dunia penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski bermula dengan kekecewaan apabila Senegal berjaya mengekang pergerakannya dengan kemenangan 2-1, di sini, lewat semalam.
Pemain penyerang berusia 29 tahun itu tiba di Rusia dengan membawa status selaku penjaring terbanyak Bundesliga buat kali ketiga dan mempunyai rekod 16 jaringan bersama Poland dalam 10 aksi kelayakan Piala Dunia.
Penyerang Bayern Munich itu juga mengakui dia mempunyai alasan untuk membuktikan sesuatu selepas kecewa pada Euro 2016 apabila hanya menjaringkan satu gol ketika Poland mara ke suku akhir.
Namun Senegal memastikan dia tidak mampu melakukan apa-apa di Stadium Spartak, menghalangnya daripada melakukan sebarang percubaan tepat hingga minit ke-50.
“Kami memang mengetahui bagaimana pergerakan pasukan ini, Lewandowski adalah senjata utama mereka dan kami menggunakan sistem yang tepat untuk bermain menentang mereka,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.
Perlawanan itu dikatakan bakal menyaksikan pertarungan antara penyerang Lewandowski dan Senegal, Sadio Mane namun kedua-duanya gagal menemui penyudah diharapkan.
Namun, Mane berjaya membantu jaringan pembukaan Senegal dan dilihat dapat berganding bahu dengan selesa bersama pemain sayap Torino, M’baye Niang bagi mengucarngacirkan pertahanan Poland.
Lewandowski, yang dikhabarkan berpindah ke Real Madrid selepas ejennya menyatakan pemain itu mahukan ‘cabaran baharu’ bulan lalu, mungkin mengharapkan aksi lebih baik apabila Poland bertemu Colombia, Isnini depan.
Tetapi dia kelihatan terpulau di bahagian serangan dalam sebahagian besar perlawanan dan sering dikepung oleh ramai pemain Senegal setiap kali dia mengawal bola.
Dia dikawal ketat oleh pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly namun mampu mencipta satu peluang pada minit ke-22, apabila mengawal kembas hantaran Jakub Blaszczykowski namun sasarannya tersasar. – AFP