Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MKM rai ulang tahun ke-10

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-10 dengan mengadakan Majlis Doa Selamat dan Solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Rashidah Saádatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, kelmarin

    Majlis Doa Selamat berkenaan adalah untuk kesejahteraan berterusan dan kemajuan MKM, di samping itu, majlis juga diselajurkan dengan bacaan tahlil untuk semua ahli dan pelanggan yang telah meninggal dunia.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Juga hadir ialah ahli-ahli MKM dan bekas ahli eksekutif MKM bersama 150 orang pelanggan MKM. MKM adalah sebuah persatuan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan pada 2 Disember 2009 dengan objektifnya termasuk membantu dalam kebajikan dan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan.

    MKM telah menjalankan pelbagai program kebajikan sepanjang tahun untuk membantu golongan yang memerlukan.

    Ini termasuk skim sarapan sekolah di mana kira-kira 300 orang kanak-kanak miskin dibantu dengan memberikan sarapan pagi setiap hari persekolahan, MKM juga mngadakan program makanan keperluan asasi bulanan di mana keluarga yang memerlukan diberi makanan keperluan asasi setiap bulan.

    Program ‘Back to School’ juga diungkayahkan yang memfokuskan keperluan persekolahan bagi anak-anak pelanggan MKM setiap tahun pada musim awal persekolahan.

    Dalam bulan Ramadan pula, MKM mengedarkan makanan untuk berbuka puasa kepada para pelanggannya.

    Satu dana pendidikan juga telah ditubuhkan untuk membantu pelajar yang memerlukan bagi membayar yuran sekolah atau universiti mereka, pengangkutan ke sekolah serta membeli komputer riba bagi penuntut pendidikan tinggi dan banyak lagi.

    Di samping itu, program memperkasakan diri dalam bidang pertanian, jahitan dan memasak juga dianjurkan untuk menyediakan kemahiran hidup kepada pelanggan supaya mereka dapat hidup berdikari.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika hadir pada majlis tersebut.
    Antara yang hadir menyertai majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda