Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    MMN hadiri mesyuarat task force AIPA di Jakarta

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dengan diwakili oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin telah menghadiri Mesyuarat Task Force on the Enhancement of Guidelines of AIPA’s Engagement with Externals and Digital Law Library Establishment yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia pada 17 dan 18 Januari.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, di sini, mesyuarat pasukan petugas berkenaan adalah kesinambungan daripada hasil utama Mesyuarat Komiti Eksekutif di Perhimpunan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-44 di Jakarta, Indonesia pada Ogos 2023.

    Mesyuarat itu antara lain telah mengemaskinikan garis pandu proses penglibatan AIPA bersama dengan pihak luar. Pengemaskinian garis panduan berkenaan adalah bagi memenuhi kehendak dengan meningkatnya kerjasama pertubuhan AIPA bersama parlimen di luar rantau ASEAN yang menjadi negara pemerhati AIPA termasuk kerjasama bersama parlimen, agensi bukan kerajaan dan agensi-agensi lainnya.

    Di samping itu, mesyuarat juga telah membincangkan penyelarasan bagi penubuhan perpustakaan digital koleksi undang-undang negara-negara ahli AIPA (Digital Law Library Establishment) yang telah dicadangkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Kemboja semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-43 di Phnom Penh, Kemboja pada 2022.

    Perpustakaan yang bertujuan bagi menyimpan dokumen secara sistematik itu, diharap akan dilancarkan pada pertengahan 2024.

    Rombongan MMN bergambar ramai semasa menghadiri mesyuarat yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
    – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...