Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pulau Datuk Kong akan diwartakan sebagai tapak warisan

    KUCHING, 19 JAN – Sarawak sedang dalam proses mewartakan Pulau Datuk Kong di Bahagian Bintulu sebagai tapak warisan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

    Beliau berkata sebaik sahaja diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019, pulau yang terletak di tengah-tengah Sungai Batang Kemena berhampiran Sebauh itu akan dilindungi dan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan warisan.

    Katanya sebuah cerita rakyat daripada komuniti Cina Three Good Friends And A Hungry Dog akan dibangunkan sebagai tema di pulau berkenaan, yakni suatu kisah mengenai kepentingan pengukuhan semangat menghormati semua makhluk bernyawa.

    Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian koleksi buku-buku cerita rakyat dari pelbagai komuniti di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melayu, Cina dan Punan, yang dirujuk sebagai Sarawak Folktales For All di sini hari ini.

    Katanya cerita rakyat daripada komuniti Cina itu juga adalah antara lima kisah yang terkandung dalam koleksi buku Sarawak Folktales For All yang diketengahkan bagi tujuan memupuk pemahaman dan penghayatan warisan masyarakat berbilang kaum.

    Buku cerita rakyat Sarawak Folktales For All dipamerkan pada majlis pelancaran buku itu di Kompleks Baitulmakmur II, kelmarin. – Bernama

    “Kami juga akan memanjangkan pemberian koleksi ini ke semua 1,254 sekolah rendah dan 211 perpustakaan di Sarawak dan memastikan setiap institusi pendidikan serta perpustakaan mendapat akses kepada khazanah budaya ini,” katanya.

    Abdul Karim berkata lain-lain cerita rakyat yang terkandung dalam koleksi itu termasuk Kumang and The Ungrateful Python daripada komuniti Iban, Widow and the Colorful Clothed Frog (komuniti Bidayuh), Modi and the Magic Stone (komuniti Punan) dan Ikan Patin among Sarawak Malays (komuniti Melayu Sarawak).

    “Koleksi cerita-cerita rakyat ini ditampilkan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina, bagi membolehkan kelompok yang lebih ramai dapat menghayati kepelbagaian linguistik masyarakat kita. Dalam meneruskan usaha kita menjaga warisan Sarawak, kementerian kami komited untuk menerbitkan cerita-cerita rakyat daripada semua 34 kumpulan etnik negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, beliau turut mengumumkan belanjawan tahunan RM10 juta dikhususkan kepada Dana Mudah cara Warisan, Seni dan Budaya, dengan tujuan menyokong persatuan dan organisasi berkaitan menjalankan aktiviti mereka, yang akan memupuk pertumbuhan industri kreatif negeri Sarawak.

    Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja akan melindungi warisan Sarawak tetapi juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu untuk mempromosikan ekosistem budaya yang berkembang pesat dan berdaya maju. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...