Thursday, May 2, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Model dijana AI ganti model manusia?

    CHICAGO – Model Alexsanrah yang berpangkalan di London mempunyai kembar, tetapi tidak seperti yang awda jangkakan, ‘kembar’ itu diperbuat daripada piksel dan bukannya manusia fizikal.

    Kembar maya itu dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan telah pun muncul sebagai gantian untuk Alexsandrah dalam penggambaran. Alexsandrah, yang menggunakan nama pertamanya secara profesional, seterusnya menerima kredit dan pampasan setiap kali versi AI dirinya digunakan — sama seperti model manusia.

    Alexsandrah berkata dia dan personaliti keduanya itu mencerminkan satu sama lain ‘malah hingga ke anak rambut’. Dan ini adalah satu lagi contoh bagaimana AI mengubah
    industri kreatif – dan cara manusia boleh atau mungkin tidak diberi pampasan.

    Penyokong mengatakan penggunaan AI yang semakin meningkat dalam peragaan fesyen mempamerkan kepelbagaian dalam semua bentuk dan saiz, membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian yang lebih disesuaikan yang seterusnya mengurangkan pembaziran fesyen daripada pemulangan produk. Dan peragaan digital menjimatkan wang untuk syarikat dan mencipta peluang untuk orang yang ingin bekerja dengan teknologi.

    Namun pengkritik membangkitkan kebimbangan bahawa model digital boleh menyingkir model manusia – dan profesional lain seperti jurusolek dan jurugambar – keluar daripada pekerjaan. Pengguna yang tidak menaruh syak wasangka juga boleh tertipu untuk menganggap model AI adalah nyata, dan syarikat boleh menuntut kredit bagi memenuhi komitmen kepelbagaian tanpa mengambil manusia sebenar.

    Alexsandrah bergambar dengan komputer yang menunjukkan imej dirinya yang dijana AI pada 29 Mac. – AP
    Michael Musandu digambar di Amsterdam, Belanda, pada 8 Mac. – AP
    Alexsandrah digambar di London pada 29 Mac. – AP

    “Fesyen adalah eksklusif, dengan peluang terhad diceburi orang kulit hitam,” kata Sara Ziff, bekas model fesyen dan pengasas Model Alliance, sebuah organisasi bukan untung yang bertujuan untuk memajukan hak pekerja dalam industri fesyen.

    “Saya fikir penggunaan AI untuk memutarbelitkan perwakilan kaum dan meminggirkan model kulit berwarna sebenar mendedahkan jurang yang membimbangkan antara niat yang diisytiharkan oleh industri dan tindakan sebenar mereka.”

    Wanita kulit hitam khususnya telah lama berdepan sekatan lebih tinggi untuk menyertai peragaan dan AI boleh meningkatkan beberapa manfaat yang telah diperoleh mereka. Data menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung bekerja dalam pekerjaan di mana teknologi itu boleh digunakan, dan lebih berisiko untuk diganti daripada lelaki.

    Pada Mac 2023, jenama denim ikonik, Levi Strauss & Co mengumumkan ia akan menguji model dijana AI yang dihasilkan oleh syarikat Lalaland.ai yang berpangkalan di Amsterdam untuk menambah rangkaian jenis badan yang lebih luas dan demografi yang kurang diwakili di laman webnya.

    Tetapi selepas menerima tindak balas yang meluas, Levi menjelaskan bahawa ia tidak menarik balik rancangannya bagi penggambaran foto secara langsung, penggunaan model manusia atau komitmennya untuk bekerja dengan model-model yang pelbagai.

    “Kami tidak melihat projek perintis (AI) ini sebagai cara untuk memajukan kepelbagaian atau sebagai pengganti kepada tindakan sebenar yang mesti diambil untuk mencapai matlamat kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman kami dan ia tidak sepatutnya digambarkan seperti itu,” kata Levi dalam kenyataannya ketika itu.

    Syarikat itu berkata pada bulan lalu ia tidak mempunyai rancangan untuk meningkatkan program AI.

    Beberapa peruncit lain telah dihubungi untuk bertanya sama ada mereka menggunakan model fesyen AI. Target, Kohl dan syarikat fesyen pantas Shein enggan mengulas, dengan Temu tidak menjawab permintaan untuk komen.

    Sementara itu, jurucakap Nieman Marcus, H&M, Walmart dan Macy’s berkata syarikat masing-masing tidak menggunakan model AI, walaupun Walmart menjelaskan bahawa ‘pembekal mungkin mempunyai pendekatan berbeza terhadap fotografi yang disediakan untuk produk mereka tetapi kami tidak mempunyai maklumat itu’.

    Namun begitu, syarikat-syarikat yang menjana model AI mendapati terdapatnya permintaan untuk teknologi tersebut, termasuk Lalaland.ai, yang diasaskan bersama oleh Michael Musandu selepas dia berasa kecewa dengan ketiadaan model pakaian yang kelihatan sepertinya.

    “Satu model tidak mewakili semua orang yang membeli-belah dan membeli produk,” katanya. “Sebagai seorang kulit hitam, saya sendiri rasa terkesan.”

    Musandu berkata produknya bertujuan melengkapi penggambaran foto tradisional, bukan menggantikannya. Daripada melihat satu model, pembeli boleh melihat sembilan hingga 12 model menggunakan penapis saiz berbeza, yang akan memperkaya pengalaman membeli-belah mereka dan membantu mengurangkan pemulangan produk dan pembaziran fesyen.

    “Teknologi itu sebenarnya mencipta pekerjaan-pekerjaan baharu memandangkan Lalaland.ai membayar manusia untuk melatih algoritmanya,” kata Musandu.

    Dan jika jenama-jenama “serius terhadap usaha keterangkuman, mereka akan terus mengupah model-model kulit hitam,” tambahnya.

    Model berpangkalan di London, Alexsanrah yang berkulit hitam, berkata bahawa ‘kembar’ digitalnya telah membantu membezakan dirinya dalam industri fesyen.

    Malah, Alexsandrah yang sebenar juga telah mewakili model kulit hitam janaan komputer bernama Shudu, yang dicipta oleh Cameron Wilson, bekas jurugambar fesyen yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, The Diigitals, sebuah agensi peragaan digital yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

    Wilson, yang berkulit putih, mereka bentuk Shudu pada 2017, menggambarkan di Instagram sebagai ‘Supermodel Digital Pertama di Dunia’. Tetapi pengkritik pada
    masa itu menuduh Wilson melakukan rampasan budaya dan Blackface digital.

    Wilson mengambil pengalaman itu sebagai pengajaran dan mengubah The Diigitals untuk memastikan Shudu – yang telah ditempah oleh Louis Vuitton dan BMW – tidak mengambil peluang sebaliknya membuka peluang untuk wanita kulit hitam.

    Alexsandrah, misalnya, telah menjadi model secara fizikal sebagai Shudu untuk Vogue Australia, dan penulis Ama Badu mengemukakan latar belakang Shudu dan menggunakan suaranya untuk temu bual.

    Alexsandrah berkata dia ‘amat bangga’ dengan kerjanya bersama The Diigitals, yang mencipta kembar AI dirinya, “Ia sesuatu yang meskipun kita tidak lagi ada di sini,
    generasi akan datang boleh melihat kembali dan menjadi seperti, ‘Inilah perintis’.”

    Bagaimanapun, bagi Yve Edmond, model yang berpangkalan di kawasan New York City yang bekerja dengan peruncit-peruncit utama untuk memeriksa kesesuaian pakaian sebelum dijual kepada pengguna, peningkatan AI dalam peragaan fesyen terasa lebih
    berisiko.

    Edmond bimbang agensi-agensi peragaan dan syarikat mengambil kesempatan ke atas model-model, yang umumnya merupakan kontraktor bebas yang tidak mempunyai perlindungan pekerja di AS, dengan menggunakan foto mereka untuk melatih sistem AI tanpa persetujuan mereka atau pampasan.

    Dia menggambarkan satu kejadian di mana seorang pelanggan meminta untuk mengambil gambar Edmond menggerakkan tangannya, bercangkung dan berjalan untuk tujuan ‘penyelidikan’.

    Edmond menolak dan kemudian berasa ditipu – agensi peragaannya telah memberitahu dia ditempah bagi penyedangan pakaian, bukan untuk membina avatar. “Ini adalah pencabulan sepenuhnya,” katanya. “Ia benar-benar mengecewakan saya.”

    Tetapi tanpa peraturan AI, terpulang kepada syarikat-syarikat untuk bersikap telus dan beretika tentang penggunaan teknologi AI. Dan Ziff, pengasas Model Alliance, menyamakan kekurangan perlindungan undang-undang semasa untuk pekerja fesyen seperti ‘Wild West’.

    Itulah sebabnya Model Alliance mendesak perundangan seperti yang sedang dipertimbangkan di New York, di mana peruntukan Akta Pekerja Fesyen memerlukan syarikat pengurusan dan jenama untuk mendapatkan persetujuan bertulis yang jelas daripada model-model untuk mencipta atau menggunakan replika digital model; nyatakan jumlah dan tempoh pampasan, dan larangan mengubah atau memanipulasi replika digital model tanpa kebenaran.

    Alexsandrah mengatakan bahawa dengan penggunaan beretika dan peraturan undang-undang yang betul, AI mungkin membuka pintu untuk lebih banyak model kulit hitam seperti dirinya.

    Dia telah memberitahu pelanggannya bahawa dia mempunyai replika AI, dan dia menyalurkan sebarang pertanyaan untuk kegunaannya melalui Wilson, yang disifatkannya sebagai “seseorang yang saya kenali, sayangi, percayai dan kawan saya.”

    Wilson berkata mereka memastikan sebarang pampasan untuk AI Alexsandrah adalah setanding dengan apa yang akan diraihnya secara peribadi.

    Edmond, bagaimanapun, lebih bersifat seorang puris, “Kita mempunyai Bumi yang menakjubkan ini yang kita diami. Dan awda mempunyai seseorang daripada setiap personaliti, setiap ketinggian, setiap saiz. Mengapa tidak mencari orang itu dan membayar orang itu?” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...