Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Nadeera bersyukur laluan seni makin menyinar

    Penyanyi, Nadeera Zaini bersyukur karier seni lancar selepas bergelar juara program realiti, Big Stage 2023, tahun lalu, lapor BH Online.

    Nadeera atau nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, 31, berkata, sebelum ini dia sukar menerima tawaran membuat persembahan dan hanya bergantung kepada slot di kelab malam dan hotel.

    “Alhamdulillah, setakat ini ada sahaja rezeki selepas menang di pentas Big Stage 2023. Undangan show pun sudah lain, dahulu, tiada langsung.

    “Saya bersyukur 2024 menjadi tahun baharu buat saya sejak bergelar anak seni. Walaupun sudah lama dalam bidang ini, saya masih fikir diri ini baru mengatur langkah.

    “Sekarang, saya bersyukur, setiap bulan, ada show. Jadi, saya boleh kata kehidupan saya sekarang berbeza,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Balik Raya iaitu kerjasamanya dengan Indah Ruhaila dan Wani Kayrie di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Nadeera bersyukur karier seni makin lancar sejak meraih gelaran juara Big Stage 2023. – mStar

    Nadeera tidak mahu mempersiakan ruang dan peluang dengan menghasilkan projek album mini mengandungi lagu ciptaan sendiri dan dua teman.

    “Saya sedang berjinak-jinak menulis lagu. Saya mahu hasilkan karya sendiri. Insya Allah, tahun ini saya akan keluarkan album mini.

    “Album itu akan memuatkan antara lima hingga enam lagu. Dalam projek ini, saya bukan utamakan vokal, sebaliknya, memberi tumpuan kepada melodi yang enak didengari,” katanya.

    Nadeera berkata, sebelum ini, dia pernah mencipta lagu untuk penyanyi seperti Khai Bahar dan Yasmin Aziz.

    “Cuma, saya tiada keyakinan untuk mencipta lagu buat diri sendiri. Jadi, tahun ini saya beranikan diri dan bersyukur kawan sangat membantu,” katanya.

    Berkongsi mengenai projek album mini itu, Nadeera mengakui lagu yang dihasilkan cukup istimewa kerana menceritakan perjalanan hidupnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...