BERLIN, 1 FEB – Pekerja keselamatan di kebanyakan lapangan terbang utama Jerman mengadakan mogok kerja sehari untuk meningkatkan tekanan dalam pertikaian gaji, menyebabkan pembatalan penerbangan yang meluas.
Kesatuan ver.di, yang mengumumkan mogok petang semalam, menyeru pekerja untuk mogok di 11 lapangan terbang: Frankfurt, Berlin, Cologne, Duesseldorf, Hamburg, Stuttgart, Leipzig, Hannover, Dresden, Bremen dan Erfurt.
Lapangan terbang di Bavaria termasuk Munich, yang kedua paling sibuk di negara itu tidak terjejas.
Semua pelepasan untuk hari itu dari Berlin, Hamburg dan Stuttgart dibatalkan sebelum mogok bermula. Kira-kira empat perlima penerbangan di Cologne dan satu pertiga di Dusseldorf juga telah dibatalkan.
Di Frankfurt, pengendali lapangan terbang paling sibuk di Jerman berkata tempat pemeriksaan keselamatan di luar kawasan transit kekal ditutup. Ia menasihatkan penumpang yang merancang untuk memulakan perjalanan di sana tidak datang ke lapangan terbang. Bagaimanapun, terdapat penerbangan untuk memindahkan penumpang; Lufthansa merancang untuk mengendalikan sebahagian besar jadual penerbangannya, termasuk penerbangan antara benua. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P21-C-paper-web-AP_02022024.jpg)