Thursday, December 19, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    MPK Putat hulur derma anak yatim

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bersempena menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Putat dan Takmir Masjid Kampung Putat, kelmarin, telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung ke-31 yang berlangsung di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan pemangku pengarah hal ehwal masjid, pegawai hal ehwal masjid, para jemputan, jemaah serta penduduk kampung tersebut.

    Majlis tersebut adalah dikhususkan bagi penduduk kampung serta keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.

    Bersempena dengan majlis tersebut, kutipan berjumlah $5,460 telah berjaya dikumpulkan daripada 70 penyertaan keluarga, yang bertujuan untuk digunakan bagi segala perbelanjaan bagi menyempurnakan majlis tersebut, serta menyampaikan derma dan barang-barang keperluan asasi kepada anak-anak yatim.

    Majlis tersebut pertama kali diadakan pada 1993, bersempena dengan penubuhan Jawatankuasa Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung yang kemudiannya diteruskan dari tahun ke tahun dan disambut baik sehingga sekarang. Acara tersebut pada lazimnya dimulakan dengan kempen membersihkan tanah-tanah perkuburan di kampung tersebut iaitu Tanah Perkuburan Baong, Tanah Perkuburan Paluk dan Tanah Perkuburan Kupang.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim. – GAMBAR SERAHAN HAJI SAHARI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda