Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Mr Helibro inspirasi orang ramai dekati dunia helikopter

    Oleh Mohd Afiq Zulkifli – 

    KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang helikopter menarik perhatian warganet apabila aktif berkongsi videonya mengendalikan pesawat ringan itu di aplikasi TikTok.

    Rata-rata warganet kagum melihat skil juruterbang menerbangkan helikopter jenis Robinson R44 Clipper I itu serta teruja untuk mengetahui cara penerbangannya, tambahan pula beliau tidak lokek berkongsi ilmu penerbangan dan kerap menjawab soalan warganet di ruangan komen.

    Ketika ditemui Bernama baru-baru ini, juruterbang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr HeliBro, 50, berkata tujuan beliau berkongsi video itu adalah mahu memberi galakan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira umur supaya ada keinginan dan minat meneroka dunia penerbangan, khususnya helikopter.

    “Dulu orang selalu cakap untuk terbangkan helikopter susah, tapi sebenarnya tidaklah sesukar yang difikirkan. Jadi, video di TikTok itu saya mengajar dan menyampaikan informasi kepada pengikut seperti cara pendaratan, penerbangan, cuaca dan aspek teknikal serta penjagaan helikopter, walaupun ia (mengajar) tidak rasmi tapi perkara itu mudah sekiranya ada minat dan usaha.

    “Secara tidak langsung saya memberi inspirasi kepada generasi muda di luar sana agar bersemangat untuk mempunyai cita-cita tinggi dan tidak mustahil jika mereka berusaha bersungguh-sungguh pasti berjaya menjadi juruterbang helikopter yang hebat,” katanya.

    Mr HeliBro ketika sesi temu bual bersama Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Seorang juruterbang helikopter menarik perhatian warganet apabila aktif berkongsi videonya mengendalikan pesawat ringan itu di aplikasi TikTok. – Bernama
    Pemandangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dapat dilihat melalui helikopter yang dipandu. – Bernama

    Berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia penerbangan, Mr HeliBro berkata beliau memutuskan untuk bersara awal, namun kerana minat beliau masih menjalankan perniagaan dalam bidang penerbangan bagi mengisi masa lapang.

    Selain itu, beliau turut memiliki pangkalan helikopter (heliport) dan kafe yang terletak berdekatan susur keluar Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang yang bakal siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.

    Heliport itu menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat lebih dekat helikopter dan sesiapa yang berminat untuk bergambar dengan pesawat itu dibenarkan tanpa caj dengan pemantauan kru Mr HeliBro.

    Bapa tunggal itu turut memaklumkan pihaknya turut menawarkan pengalaman kepada orang ramai untuk menaiki helikopter dengan menawarkan khidmat cost sharing flights dengan harga yang munasabah berbanding perkhidmatan komersial lain.

    “Cost sharing flights bermakna kos penerbangan itu mesti mendapat persetujuan bersama antara penumpang dengan juruterbang dan kos operasi mesti ditanggung bersama,” katanya.

    Mengimbau kembali perjalanan kariernya, Mr HeliBro berkata beliau amat meminati kapal terbang sejak kecil sekitar 1970an ketika dibesarkan di Kem Mahkota, Kluang, Johor kerana mengikuti arwah bapanya yang merupakan seorang tentera darat.

    “Kem itu menjadi lokasi latihan penerbangan tentera udara. Setiap hari, saya akan melihat juruterbang berlatih dan menerbangkan pesawat. Saya kagum melihatnya. Dari situlah saya bertekad suatu hari nanti saya juga boleh terbangkan pesawat,” katanya.

    Menurutnya, impian untuk mendapatkan lesen penerbangan diteruskan semasa beliau bekerja di Osaka, Jepun pada 1997 sebagai pereka mesin selepas menamatkan pengajian di Universiti Chiba.

    “Setiap kali tiba cuti, saya pasti akan pergi ke Amerika Syarikat bagi menjalani latihan dan mempelajari apa sahaja yang berkaitan dengan penerbangan. Sedikit demi sedikit, saya mempelajarinya sehingga berjaya mendapatkan lesen penerbangan pada tahun 2000,” jelasnya yang turut boleh menerbangkan pelbagai jenis pesawat lain termasuk jet pejuang L-39 Albatros, pesawat aerobatik selain aktif dalam sukan payung terjun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...