BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) berkerja keras sebelum berjaya bangkit di babak kedua untuk memastikan kemenangan mutlak ketika membuka saingan menentang Pasukan Street United FC pada Liga Futsal Perdana Brunei (BPFL) 2024/25.
Street United FC mencipta jaringan awal pada minit ke-14 menerusi Ulfi Aminuddin dan pemain import, Setiawan Dimas menggandakan kedudukan pada minit ke-19 dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Namun, pertemuan semakin sengit dibabak kedua apabila MS PPDB baharu menemui rentak sebenar dengan serangan-serangan pantas dan Nur Yamin berjaya merapatkan jaringan pada minit ke-23, dan perlawanan semakin mendebarkan apabila Aidil Ezwandy menyamakan kedudukan di minit yang sama.
MS PPDB mengambil giliran mendahului jaringan pasukan lawan pada minit ke-25 menerusi Nur Bazli dan Muhammad Yuzlin pula menjarakkan kedudukan seminit selepas itu.
Pasukan Street United FC yang berusaha keras berjaya merapatkan kembali jurang jaringan dihasilkan menerusi Aziq Bahrin pada minit ke-38.
Namun anak buah Pengiran Mohd Yusnorraimy terpaksa akur tercicir mata pada persaingan kedua mereka.
Pada kedudukan terakhir BPFL, Pasukan Hars Elite lebih cemerlang berada dipuncak carta selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut, sementara Pasukan PES FC berada di tangga kedua dan Pasukan Street United FC jatuh di tangga ketiga.