Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Pasukan Muara Spurs B muncul juara Liga Super Sepak Takraw Terbuka TAIB 2024 selepas menewaskan Pasukan Muara Spurs A, 2-0 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Manakala, Pasukan 7 Brothers dan Pasukan Panglima Kota Batu berkongsi tempat ketiga dalam Kategori Terbuka Lelaki.
Sementara itu, Pasukan MS ABDB B menjuarai Kategori Quadrant Bawah-23 selepas menewaskan Pasukan Mirhabi 2-0 di perlawanan akhir. Manakala Pasukan Aqua dan Pasukan Sukma 26 berkongsi tempat ketiga.
Pasukan Tutong muncul juara bagi Kategori Hoop, diikuti naib juara Pasukan Muara dan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Tentera Diraja Brunei meraih tempat ketiga.
Sebagai penghargaan atas kecemerlangan pemain, anugerah individu juga diberikan.
Selain meraih gelaran juara, Mohd Selamat bin Yakup dari Pasukan Muara Spurs B menerima Anugerah Tekong Terbaik.
Manakala Anugerah Feeder Terbaik diterima oleh Abdul Hadi Ariffin bin Matali dari Pasukan Muara Spurs A, dan Mohammad Muizzuddin Jamaludin dari Pasukan 7 Brothers memenangi Anugerah Killer Terbaik.
Majlis penutup turut menyaksikan perlawanan pameran khas daripada bintang dunia dari Thailand dan Malaysia.
Acara itu juga bertepatan dengan penyampaian hadiah penghargaan khas oleh TAIB kepada pasukan kebangsaan hoop dan beregu sepak takraw Brunei Darussalam yang memenangi dua pingat gangsa semasa Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai ke-37 yang berlangsung di Korat, Thailand dari 1 hingga 8 September lalu.
Hadiah penghargaan khas itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.