Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Mufti Kerajaan jelaskan makna tadabbur

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Tadabbur, satu istilah khusus bererti memikir, mengamat-amati, menghayati, menyingkap rahsia dan hikmah ayat-ayat suci Al-Quran atau Al-Hadits.
     
    “Dalam makna, tadabbur itu bukanlah satu kerja mudah yang boleh dibuat oleh semua orang, melainkan hanya oleh orang-orang yang ahli dalam ilmu Al-Quran sendiri selain ilmu bacaan, ahli dalam ilmu agama dan menguasai bahasa Arab.”
     
    Perkara itu ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa Majlis Tadabbur Al-Quran Perdana Bersama Mufti yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat (UKKM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa UBD itu ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.
     
    Dalam sesi itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan kenangan semasa mengikuti kursus di DaruIfta, Mesir di mana Al-Imam Metwalli al-Sha’rawi Rahimahullah, bekas mufti dan Syeikh al-Azhar, telah memenuhi sebulan penuh Ramadan, dengan ceramah mentafsir Al-Quran di masjid-masjid.
    Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa Majlis Tadabbur Al-Quran Perdana Bersama Mufti. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Mufti Kerajaan bergambar ramai bersama hadirin yang menghadiri Majlis Tadabbur Al-Quran Perdana Bersama Mufti di Masjid Universiti, UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada majlis tadabbur berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dengan memegang naskhah Al-Quran di tangan, Al-Imam Metwalli al-Sha’rawi berceramah mengupas dan mentafsir surah demi surah dan ayat demi ayat, tanpa memberi peluang untuk mata mengantuk, tetapi sering-sering mengucapkan “Subhanallah, Allahu Akbar” kerana kagum dengan penyampaian penceramah dan sekali gus menandakan penceramah dan pendengar sama-sama mentadabbur ayat-ayat yang dibaca dan dikupas itu.
     
    “Inilah satu contoh ayat-ayat suci Al-Quran dibaca sekali gus ditadabbur,” jelas Yang Berhormat Pehin. 
     
    Tambahnya, “Sementara kita orang awam, bolehkah kita juga mentadabbur Al-Quran? Jawabnya ya, boleh.  
     
    “Hanya disesuaikan sahaja caranya, kalau kita mungkin tidak mampu untuk mengikut cara Al-Imam Metwalli al-Sha’rawi, kita pakailah cara yang kita mampu, sebagai contoh pilih mentadabbur ayat-ayat yang senang paling pendek dalam Al-Quran seperti: Bismillahir Rahmanir Rahim.
     
    “Bismillahir Rahmanir Rahim adalah ayat Al-Quran dan ia ada di setiap awal surah kecuali Surah At-Taubah,” tambahnya.
     
    Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh imam masjid berkenaan.
     
    Turut hadir pada majlis itu, pegawai, pensyarah, orang awam, jemaah Takmir Masjid Universiti, pelajar dari beberapa institut pengajian tinggi dan pelajar UBD.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...