Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tentera Israel guna anjing serang rakyat Palestin

    NABLUS, 9 FEB – Episod kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin seolah-olah tiada penghujung, malah semakin menjadi-jadi apabila mereka turut melepaskan anjing terlatih untuk memburu dan mencederakan sesiapa saja termasuk kanak-kanak dan orang tua.

    Ibrahim Jamal Hashash, 3, mengalami cedera parah pada badan dan kepala akibat digigit anjing tentera Israel dalam satu serbuan di rumah keluarganya di Kem Balata yang terletak di Nablus, Tebing Barat. Kanak-kanak malang itu kini terlantar di hospital kerajaan Rafidia.

    Menceritakan detik cemas itu, ibunya Amani Hashash berkata sebaik pintu rumah dirobohkan, anjing tentera terus menerpanya dan menggigit anaknya yang ketika itu dalam dukungannya sebelum menyeretnya ke luar rumah.

    “Saya dan anak-anak yang lain cuba menghalang anjing itu, namun sia-sia,” katanya tentera Israel langsung tiada belas kasihan apabila hanya membiarkan sahaja anjing itu terus menggigit dan menyerang Ibrahim tanpa henti.

    “Suara jeritan dan tangisannya tidak akan saya lupakan,” katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

    Pakar Pembedahan Pediatrik di Hospital Rafidia, Dr Abdel Nasser Bani Odeh berkata keadaan Ibrahim stabil setakat ini namun perlu dipantau rapi oleh doktor khas.

    “Gigitan anjing boleh menyebabkan keradangan kulit atau kecederaan pada tisu, kadang kala ia memerlukan pemindahan kulit, bergantung kepada kedalaman kecederaan,” katanya pasukan perubatan akan sedaya upaya membantu pesakit walaupun dalam keadaan kekurangan alatan dan bekalan ubat.

    Keganasan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober telah meragut lebih 27,800 nyawa, manakala 67,300 lagi cedera dan ribuan lagi gagal dikesan. – Bernama

    Seorang kanak-kanak kelihatan menangis semasa acara pengebumian di kem pelarian Nour Sham, Tebing Barat pada 8 Februari 2024. Tentera Israel telah melepaskan anjing terlatih untuk memburu dan mencederakan penduduk Palestin termasuk kanak-kanak dan orang tua. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...