YANGON, 29 APRIL – Myanmar memperingati genap sebulan sejak dilanda gempa bumi paling dahsyat dalam lebih satu abad kelmarin, ketika serangan ketenteraan masih berterusan meskipun terdapat gencatan kemanusiaan, dan ribuan mangsa masih berlindung di khemah sementara.
Gempa berukuran 7.7 magnitud itu, menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), merupakan yang terkuat dengan pusat gempa di tanah Myanmar sejak tahun 1912, dan setakat ini telah meragut hampir 3,800 nyawa – angka rasmi yang terus meningkat setiap hari.
Kemusnahan paling teruk berlaku di bandar kedua terbesar, Mandalay, di mana pangsapuri, kedai teh, hotel dan institusi keagamaan musnah atau rosak teruk.
“Sudah sebulan berlalu, tetapi kami masih sibuk cuba mendapatkan semula apa yang kami hilang,” kata seorang penduduk Mandalay yang enggan dikenali.
“Saya bukan satu-satunya yang masih menghadapi kesukaran, semua orang di sekeliling saya pun sama.”
Dengan puluhan ribu orang masih kehila-ngan tempat tinggal menjelang musim monsun, agensi bantuan memberi amaran tentang cabaran besar yang bakal tiba. – AFP
